BAU: Komponen penting sistem bekalan elektrik milik Sarawak Energy Berhad (SEB) di Simpang Utama, Singgai dekat sini menjadi sasaran pencuri apabila dua unit bateri panel Auto Recloser (AR) bersama-sama kabel bumi dilarikan, sekali gus mengakibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM15,000.
Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 3.14 petang semalam daripada seorang juruteknik SEB berusia 38 tahun.
Beliau berkata, pengadu menyedari kehilangan komponen berkenaan ketika melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi pada hari yang sama.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua unit bateri panel AR bersama kabel bumi sepanjang kira-kira enam meter telah dicuri. Panel berkenaan turut mengalami kerosakan pada bahagian suis kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati lokasi kejadian terletak di kawasan terbuka berhampiran bahu jalan yang mudah diakses, sekali gus dipercayai memudahkan suspek menjalankan kegiatan jenayah tersebut.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Sehubungan itu, polis kini sedang mengesan individu yang terlibat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohammad Asfia Ilias atau menyalurkannya ke mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, Mohd Haide menasihati pihak yang menguruskan kemudahan utiliti supaya mempertingkatkan kawalan keselamatan termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV), meningkatkan rondaan serta menjalankan pemeriksaan berkala bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.


