BINTULU: Dua vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu kerana melanggar syarat sah lesen dalam operasi berasingan di perairan Kuala Serupai dan Kuala Tatau, pada Rabu.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, kedua-dua vesel kelas C itu dikesan menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan, sekali gus melanggar syarat lesen yang ditetapkan.

Menurutnya, vesel pertama ditahan pada kedudukan 5.6 batu nautika barat laut Kuala Serupai kira-kira pukul 12.40 tengah hari, manakala vesel kedua ditahan pada 10.2 batu nautika barat laut Kuala Tatau sekitar pukul 2.47 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua vesel disyaki melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 apabila menjalankan aktiviti penangkapan ikan di bawah jarak yang dibenarkan.

“Bagi vesel kelas C, mereka tidak dibenarkan menangkap ikan kurang daripada tujuh batu nautika di Kuala Serupai dan kurang 12 batu nautika di Kuala Tatau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tindakan penguatkuasaan ke atas vesel kelas C itu penting bagi memastikan pematuhan zon penangkapan ikan serta mengelakkan pencerobohan kawasan yang boleh menjejaskan sumber perikanan.

“Jika disabitkan kesalahan, pemilik vesel boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya sambil menambah kedua-dua vesel bersama kru ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengusaha vesel nelayan kelas C supaya sentiasa mematuhi syarat lesen dan kawasan operasi yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang serta memastikan kelestarian sumber laut terus terpelihara.


