HSL berbuka puasa bersama pengamal media di Sarawak.

Dua warga Indonesia dipenjara 6 bulan, miliki motosikal curi

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Gambar hiasan

KUCHING: Dua lelaki warga Indonesia masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki dua motosikal curi di sebuah ladang kelapa sawit di Lundu, Disember tahun lalu.

Tertuduh Daniel, 31 dan Amirudin, 27, masing-masing dari Kalimantan Barat, Indonesia mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, Daniel didakwa memiliki harta curi sebuah motosikal jenama Yamaha milik seorang pemuda berusia 20 tahun.

Manakala, Amirudin didakwa memiliki motosikal jenama Honda milik seorang wanita berusia 33 tahun.

Mereka melakukan kesalahan itu di Jalan Ladang Sawit Kampung Raso, Lundu kira-kira jam 10.20 pagi, 13 Disember 2022.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda, jika disabit bersalah.

Menurut fakta kes, dalam tempoh selang sehari pada 9 Disember dan 11 Disember tahun lalu, dua laporan polis dilakukan oleh mangsa berbeza berkaitan kehilangan motosikal milik mereka.

Pada 9 Disember 2022, kira-kira jam 7 pagi mangsa lelaki melaporkan kepada pihak polis mengenai motosikalnya yang berkunci rapat diletakkan di kaki lima sebuah kedai di Batu Kawa hilang di curi orang.

Manakala, pada 11 Disember 2022, sekitar jam 8.50 pagi mangsa wanita melaporkan kehilangan sebuah motosikalnya jenis Honda selepas diletakkan di hadapan bangunan Wisma Hyfa, Jalan Samarak.

Pada 13 Disember tahun lalu, pihak polis telah melakukan rondaan keselamatan sempadan Malaysia Indonesia terserempak dengan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan masing-masing menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran.

Apabila menghampiri mereka, kedua-dua tertuduh cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua mereka memiliki harta curi dua buah motosikal milik kedua-dua mangsa selepas mengesahkan nombor casis enjin adalah sama seperti yang dilaporkan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

2 April 2023

Berita Terbaru