IPOH: Waris dua mangsa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jalan Jelapang-Ampang, di sini, pada Sabtu lepas layak menerima faedah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
PERKESO memaklumkan mangsa yang layak ialah Muhammad Izdihar Rafiq Sarajil Korin dan Muhamad Faiz Danial Jumri, yang kedua-duanya berusia 19 tahun.
Berdasarkan semakan rekod PERKESO, Muhammad Izdihar mula mencarum apabila bekerja pada Januari tahun ini manakala Muhammad Faiz disahkan berkhidmat sejak Ogos tahun lepas.
“Meskipun kemalangan berlaku di luar waktu kerja, nasib waris iaitu ibu bapa dan adik-beradik mangsa yang mungkin sebelum ini pernah bergantung harap pada arwah, masih tetap terbela.
“Inilah tujuan sebenar LINDUNG 24 Jam diwujudkan kerana masih menyediakan jaminan kelangsungan kehidupan bagi kes kemalangan di luar waktu pejabat, meskipun pekerja baru sahaja mula mencarum dengan PERKESO,” menurut PERKESO dalam kenyataan hari ini.
Menurut PERKESO, waris Allahyarham Muhammad Izdihar layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak RM945 mengikut syer masing-masing, dengan ibu dan bapanya mendapat bayaran berkenaan untuk sepanjang hayat manakala tiga adik arwah menerima manfaat sama sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah.
Bagi Allahyarham Muhamad Faiz, bayaran FOT sebanyak RM891 mengikut syer masing-masing akan disalurkan sepanjang hayat kepada ibu bapanya manakala seorang adik Muhammad Faiz menerima manfaat sama sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah.
Selain itu, kedua-dua waris mangsa layak menerima Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM3,000 secara sekali bayar.
PERKESO memaklumkan jumlah keseluruhan bayaran pencen berkala menerusi FOT untuk tempoh 15 tahun kepada waris mangsa menjangkau lebih RM275,000.
Kemalangan kira-kira 3.35 pagi pada 19 Sept itu mengakibatkan tiga penunggang motosikal lelaki berusia antara 19 hingga 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala sembilan lagi penunggang motosikal lelaki berumur antara 19 hingga 25 tahun mengalami pelbagai kecederaan. – BERNAMA



