KUCHING: Ahli Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) perlu merebut peluang perniagaan baharu dalam industri minyak dan gas susulan potensi sumber berkenaan yang sedang diterokai Sarawak.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkembangan sektor minyak dan gas, termasuk penerokaan di kawasan luar pesisir yang mempunyai petunjuk kewujudan gas, membuka ruang kepada DUBS untuk menceburi bidang baharu.
“Maknanya, kita perlu menerokainya.
“DUBS mempunyai potensi-potensi ini. Justeru, kita mewujudkan perniagaan baharu untuk warga DUBS.
“DUBS perlu meneroka, memahami teknologi, mengetahui apa-apa yang boleh ditawarkan serta meletakkan diri dalam pasaran yang sedang berkembang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sambutan ulang tahun ke-40 DUBS di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata potensi geologi berkenaan merangkumi kawasan dari Kimanis di Sabah, Brunei, Baram, Mukah dan Balingian sebelum menjangkau perairan Luconia dan seterusnya ke arah Natuna hingga Timor-Leste.
Katanya, perkembangan itu memberi ruang kepada Sarawak untuk meneroka potensi baharu dalam industri minyak dan gas serta mewujudkan peluang ekonomi kepada pemain industri tempatan.
“Kita menubuhkan PETROS. Jangan kita hanya melihat orang lain. Kita tubuhkan PETROS,” tambahnya.
Beliau berkata PETROS kini bekerjasama dengan syarikat tenaga Norway, Equinor, termasuk dalam usaha membangunkan kemudahan gas asli cecair terapung serta hab tenaga rendah karbon di Kuching.
“Sarawak akan mewujudkan gas asli cecair terapung di Kuching, hab rendah karbon,” jelasnya.





