Dugaan didik anak autisme

KUCHING: Pandemik Covid-19 sekelip mata mengubah wajah kehidupan masyarakat dunia termasuk landskap pendidikan dengan semua peringkat pengajian terpaksa menggunakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.
Kaedah ini ternyata bukan mudah kerana ia memerlukan masa, kemahiran, kesabaran dan kerjasama ibu bapa terutamanya bagi anak di peringkat sekolah rendah dan berkeperluan khas.
Menurut Evahaizura Husaini, ibu kepada seorang anak lelaki autisme berusia tujuh tahun, Dzikra Musyrif menyatakan tidak mudah baginya untuk mengendalikan anaknya yang sudah biasa dengan rutin harian sebelum pandemik ini.
“Dzikra menghadiri terapi pertuturan dan terapi perkembangan di dua pusat berlainan.
Rutin harian kebiasaannya dengan suasana pembelajaran yang terdiri daripada guru dan ahli terapi.
“Rutin tersebut lebih mudah bagi Dzikra dengan jadual hariannya dilabel dengan aktiviti yang akan dilakukan, tetapi sekarang rutin Dzikra luar dari kebiasaan.
“Ini kerana kesemua sesi terapi ditangguhkan, malah pembelajaran dalam talian sangat mencabar dengan anak berkeperluan khas,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, baru-baru ini.
Tambahnya, bukan mudah untuk anaknya menyesuaikan diri tetapi sebagai ibu beliau harus berjuang untuk membantu dalam suasana pembelajaran baharu itu.
“Dia akan merengek, mengeluh dan mengelak, selain menjadi sangat gelisah ketika saya berusaha membuat mereka membuat latihan.
“Untuk terapi pertuturannya, kami menggunakan Ipad untuk bertanya apa yang Dzikra mahu, tetapi apabila ibu bapa cuba melakukan perkara tersebut, dia akan mengelak dengan melakukan perkara lain,” ujarnya.
Sementara itu bagi Aishah Bujang, ibu kepada anak lelaki autisme Mohamad Adi Nasri, 12, berkata situasi semasa menyebabkan pergerakan anaknya itu terbatas.
“Dia akan mengadu kesunyian dan bosan kerana saya tidak dapat membawanya berjalan-jalan ke kedai berhampiran.
“Semasa situasi reda, saya membenarkannya bermain di luar rumah sekurang-kurangnya dua kali sehari kerana ia penting bagi mereka yang berkeperluan khas peka terhadap persekitaran fizikal.
“Bagi saya, kanak-kanak autisme perlu berlatih merangsang deria mereka dan ia berbeza dengan bermain di dalam rumah,” jelasnya.
Tambahnya, pembelajaran dalam talian dan di rumah tidak dapat menggantikan interaksi secara bersemuka dan di sekolah kerana semua dapat dilakukan, namun sekarang semua terbatas dan sukar untuk anak istimewa ini memahami.