MATU: Seramai 3,627 warga sekolah di daerah Matu dan Igan menerima sumbangan duit raya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya dalam satu majlis khas di sini, hari ini.
Sumbangan yang keseluruhannya berjumlah RM83, 620 itu bertujuan meraikan golongan pelajar, guru, dan kakitangan sekolah di kawasan DUN Jemoreng sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
Dalam ucapannya, Dr Juanda menekankan pentingnya perpaduan dan kesyukuran dalam menghadapi bulan Ramadan serta Syawal yang mulia.
“Ini adalah salah satu usaha untuk berkongsi kegembiraan bersama warga sekolah dan memberi semangat kepada para pelajar serta tenaga pengajar menjelang musim perayaan ini,” katanya kepada media sejurus selesai program di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang Tian Matu.
Selain itu, beliau turut menyeru para pelajar agar terus berusaha dengan gigih dalam pelajaran mereka dan memanfaatkan sumbangan dengan sebaik-baiknya.
Majlis penyerahan di Matu bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Bruan Mapal, disusuli SK Kuala Matu, SK Orang Kaya Sergunim, SK Orang Kaya Selair, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Chua dan SK Bawang Tian Matu.
Sumbangan diteruskan ke SK Kampung Igan, Kampung Kebuaw, Sungai Ilas, SMK Agama Igan, SK Kampung Sok dan Kampung Pergau.
Program agihan duit raya ini turut disertai oleh beberapa pemimpin tempatan serta wakil-wakil sekolah.
Penerima bantuan rata-rata melahirkan rasa syukur dan gembira atas sumbangan yang diberikan oleh ADUN Jemoreng itu.
Agihan sumbangan ini diharapkan dapat membantu golongan pelajar khususnya dalam persiapan menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria dan bermakna.
Program berakhir di SMK Agama Igan pada sebelah petang dan diteruskan dengan majlis berbuka puasa bersama kakitangan dan pelajar sekolah dan diikuti dengan solat Maghrib berjemaah.
Selesai Solat Isya berjemaah di Surau SMK Agama Igan, Juanda turut menyertai solat Solat Terawih berjemaah di Masjid dan Surau kawasan Igan iaitu di Surau Kampung Dagang, Surau Kampung Pulau, Surau Kampung Tengah, Surau Kampung Sekerang dan Masjid Darul Falah Igan.

