MUKAH: Seramai 55 penerima bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian menerima Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa 2 yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM177,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, kumpulan penerima tersebut terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kelab serta persatuan.

“Geran yang disalurkan ini adalah satu inisiatif penting dalam membantu komuniti setempat, persatuan serta organisasi akar umbi.
“Ini terutamanya dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penyerahan Geran MRP DUN Balingian di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Mukah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa setakat ini jumlah keseluruhan peruntukan MRP yang telah disalurkan mencecah RM1.7 juta.
Jelasnya, peruntukan tersebut diagihkan kepada masjid, surau, persatuan serta kelab di bawah kawasan DUN Balingian.

Sehubungan itu, Yakub menzahirkan keyakinan bahawa sokongan melalui penyerahan geran berkenaan membolehkan pelbagai program berbentuk sosial, pendidikan, ekonomi dan kemasyarakatan dilaksanakan dengan lebih berkesan serta tersusun.
“Ini seterusnya akan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat serta memperkukuhkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat kita.
“Oleh itu, saya berharap agar geran yang diterima ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Tambah beliau, penyerahan geran tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihak kerajaan dalam memastikan pembangunan luar bandar terus diperkasakan.
“Ini sejajar dengan aspirasi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya lagi.


