KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berpotensi dibubarkan dalam tempoh dua minggu selepas pembentangan Belanjawan Sarawak, kata Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurutnya, perkara itu merupakan rahsia terbuka memandangkan tempoh DUN sedia ada akan berakhir pada Disember.
“Mungkin selepas Belanjawan Sarawak atau dua minggu selepas itu. Bagaimanapun, pembubaran DUN merupakan hak prerogatif Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Ini rahsia terbuka bahawa kita perlu mengadakan pilihan raya tidak lama lagi kerana tempoh sudah dekat, sekarang sudah bulan Oktober,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan program Wanita Masa Depan Sarawak 2026 (SWOT) Musim Kelima di Damai Lagoon Resort di sini, hari ini.
Jelasnya, ruang perlu diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian.
“Kita kini mempunyai tempoh yang singkat, justeru perlu mengambil kira keperluan SPR untuk menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu persidangan DUN yang dijadualkan pada 12 hingga 21 Oktober perlu dilalui terlebih dahulu kerana ia merupakan persidangan belanjawan negeri selepas pembentangan Belanjawan Nasional.
“Belanjawan Nasional berlangsung pada Jumaat ini, kemudian kita adakan pembentangan Belanjawan Negeri,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata DUN kebiasaannya tidak dibiarkan terbubar dengan sendirinya, sebaliknya akan dibubarkan oleh pemimpin negeri.
“Sekiranya DUN terbubar dengan sendirinya selepas tempoh berakhir pada Disember, SPR perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari, iaitu sehingga Februari,” katanya.




