ARTIKEL

Mohamad Asfia dan Idris ketika sidang media berkaitan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-19. (GHAZALI BUJANG)

DUN Sarawak bersidang lapan hari mulai 12 Oktober

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Persidangan terakhir bagi penggal kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 bermula 12 Oktober ini selama lapan hari, dengan empat rang undang-undang (RUU) kerajaan dijadual dibentangkan sebelum persidangan berakhir pada 21 Oktober.

Yang di-Pertua DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, RUU berkenaan merangkumi RUU Perbekalan 2027, RUU Perbekalan Tambahan 2026, RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 dan RUU Cuti Umum (Pindaan) 2026.

“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan membentangkan RUU Perbekalan 2027, dengan bacaan pertama dan kedua dijadualkan pada 12 Oktober, manakala bacaan ketiga pada 21 Oktober.

“Ahli Dewan Undangan Negeri boleh membahaskan rang undang-undang ini mulai Rabu, 14 Oktober hingga Jumaat, 16 Oktober,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, di sini, hari ini.

Menurut Asfia, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan membentangkan RUU Perbekalan Tambahan 2026, dengan bacaan pertama pada 12 Oktober, manakala bacaan kedua dan ketiga pada 14 Oktober.

“Sementara itu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn akan membentangkan RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026, yang dijadual dibaca kali pertama pada 12 Oktober dan kali kedua serta ketiga pada 13 Oktober.

“RUU Cuti Umum (Pindaan) 2026 pula akan dibentangkan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, dengan jadual bacaan yang sama, iaitu bacaan pertama pada 12 Oktober dan bacaan kedua serta ketiga pada 13 Oktober,” katanya.

Asfia berkata, persidangan kali ini turut menyaksikan pemilihan senator baharu berikutan tempoh perkhidmatan Senator Michael Mujah Lihan akan berakhir pada 10 Disember 2026.

Beliau berkata, sebanyak 336 soalan lisan dan bertulis dikemukakan oleh 40 ADUN setakat tarikh tutup penyerahan pada 28 September lalu.

“Daripada jumlah itu, 264 soalan lisan dikemukakan oleh 37 ADUN, manakala 72 soalan bertulis dikemukakan oleh 13 ADUN.

“Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menerima jumlah pertanyaan tertinggi, iaitu sebanyak 56 soalan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiada usul persendirian diterima setakat tarikh tutup penyerahan pada 2 Oktober lalu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU