ARTIKEL

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. | Foto: Ramidi Subari

DUN Sarawak lulus pindaan cuti umum

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Cuti Umum (Pindaan) 2026 bagi membolehkan cuti gantian ditetapkan secara automatik apabila dua cuti umum bertindih.

Pindaan itu menghapuskan keperluan mewartakan cuti gantian secara berasingan setiap kali pertindihan berlaku, sekali gus memperjelas mekanisme penggantian cuti di bawah Ordinan Cuti Umum [Bab 8 (Edisi 1958)].

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, undang-undang sedia ada menetapkan bahawa Isnin berikutnya menjadi cuti umum sekiranya cuti umum jatuh pada Ahad.

Bagaimanapun, ordinan itu tidak memperuntukkan secara jelas mekanisme yang terpakai apabila sesuatu cuti umum bertindih dengan cuti umum lain.

Beliau berkata, keadaan itu pernah berlaku beberapa kali di Sarawak, termasuk pada 2025 apabila hari kedua Hari Gawai bertindih dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 2026 pula, Hari Wesak jatuh pada Ahad ketika Isnin dan Selasa sudah ditetapkan sebagai cuti Hari Gawai.

Pindaan diperlukan bagi memastikan undang-undang yang berkuat kuasa sejak hampir lapan dekad lalu kekal jelas, praktikal dan sesuai dengan keperluan semasa.

Katanya, keperluan mengeluarkan notis berasingan dalam Warta Kerajaan setiap kali berlaku pertindihan cuti kurang praktikal dan berpotensi menyebabkan kelewatan yang menjejaskan sektor awam serta swasta.

“Pindaan kepada Seksyen 3 dicadangkan bagi membolehkan cuti gantian berkuat kuasa secara automatik tanpa perlu menunggu pewartaan berasingan,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Mekanisme itu dapat memberikan kepastian kepada orang ramai, selain membantu keluarga dan masyarakat merancang urusan lebih awal.

Mekanisme sama turut digunakan di peringkat Persekutuan menerusi Akta Hari Kelepasan 1951, manakala Sabah telah meminda ordinan cuti umum negeri itu supaya selaras dengan kedudukan di peringkat Persekutuan.

Bagaimanapun, RUU itu mengekalkan kuasa Yang di-Pertua Negeri untuk menetapkan sebaliknya melalui pemberitahuan dalam Warta Kerajaan sekiranya keadaan memerlukan.

Pindaan itu turut mencadangkan pemansuhan Jadual Kedua yang tidak lagi relevan serta penyelarasan rujukan dalam ordinan daripada “Jadual Pertama atau Kedua” kepada “Jadual”.

Ordinan Cuti Umum Sarawak mula berkuat kuasa pada 16 Disember 1946 sebagai Ordinan No. 4 Tahun 1946 sebelum beberapa kali dipinda dan disesuaikan mengikut perkembangan semasa.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU