ARTIKEL

Dutch Lady, Trienekens teruskan usaha kitar semula kotak minuman di sekolah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Program Kelestarian Alam Sekitar 2026 yang menggalakkan amalan pengasingan dan kitar semula sisa diperluas kepada 18 sekolah di Kuching, Padawan dan Serian.

Menurut kenyataan, inisiatif kerjasama Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia) dan Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd itu memasuki tahun kedua selepas projek perintis melibatkan lapan sekolah di Kuching dan Padawan tahun lalu.

“Program berkenaan memberi pendedahan praktikal kepada murid berkaitan pengasingan sisa, penggunaan secara bertanggungjawab serta pengumpulan dan kitar semula kotak minuman terpakai (UBC).

“Menerusi program ini murid diajar cara menyediakan kotak minuman terpakai sebelum dihantar untuk dikitar semula, termasuk mengosongkan, membilas ringan, mengeringkan dan meratakannya,” ujar kenyataan.

Pengarah Hal Ehwal Korporat Dutch Lady Milk Industries Berhad, Ezmir Hazizi Azhar berkata, sokongan kepada murid tidak seharusnya terhad kepada penyediaan produk susu, sebaliknya turut merangkumi pengurusan pembungkusan yang terhasil secara bertanggungjawab.

“Melalui kerjasama ini, murid akan mempelajari cara kotak minuman terpakai perlu disediakan untuk pengumpulan dan kitar semula.

“Lebih penting, kami berharap amalan praktikal ini dapat dibawa dari bilik darjah ke rumah dan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Program Kelestarian Alam Sekitar 2026 yang turut melibatkan hampir 3,000 murid daripada sekolah yang menerima pek susu Dutch Lady menerusi Program Susu Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menurutnya, guru memainkan peranan penting dalam memastikan amalan pengurusan sisa dilaksanakan secara konsisten dalam kalangan murid.

Katanya, pendekatan ini dapat membantu menjadikan aktiviti di sekolah sebagai satu bentuk kesedaran berterusan mengenai penggunaan bertanggungjawab dan pengurusan sisa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trienekens, Stephen Chin berkata, program berkenaan selaras dengan pendekatan syarikat untuk memupuk amalan pengurusan sisa yang bertanggungjawab dalam kalangan kanak-kanak sejak di bangku sekolah.

“Ia merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kesedaran alam sekitar serta membentuk generasi muda yang bertanggungjawab dengan alam sekitar,” katanya.

Setiap sekolah yang menyertai program akan menerima kit permulaan merangkumi kotak pengumpulan, tong kitar semula, beg plastik, bahan pendidikan serta poster mengenai kaedah penyediaan kotak minuman terpakai untuk dikitar semula.

Pemenang pertandingan pula akan menerima hadiah wang tunai berjumlah lebih RM12,000 selain trofi dan sijil.

Program tersebut turut merangkumi taklimat teknikal kepada guru serta pertukaran memorandum kerjasama (MOC) antara Dutch Lady Malaysia dengan Trienekens.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU