ARTIKEL

Muhammad Farid Ariffin Suhaimi

E-filing mudahkan urusan fail cukai pendapatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kesedaran pemfailan cukai pendapatan dalam kalangan golongan muda dilihat semakin meningkat, seiring pelaksanaan sistem e-filing yang diperkasa menerusi portal MyTax oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Rata-rata pembayar cukai muda di Sarawak menyifatkan proses digital berkenaan lebih teratur, sistematik dan menjimatkan masa, sekali gus meningkatkan kecekapan serta tahap pematuhan sukarela dalam kalangan generasi bekerja awal tersebut.

Suara Sarawak turut menemu bual beberapa pembayar cukai muda bagi mendapatkan pandangan serta pengalaman mereka sepanjang melaksanakan tanggungjawab memfailkan cukai pendapatan masing-masing.

Muhammad Farid Ariffin Suhaimi, 34.
Ini kali ke-10 saya memfailkan cukai pendapatan dan proses e-filing yang disediakan juga teratur, sistematik dan semakin mesra pengguna dari tahun ke tahun. Contohnya, portal MyTax memaparkan maklumat yang telah diisi secara automatik seperti butiran pendapatan dan Potongan Cukai Berjadual (PCB), sekali gus memudahkan proses semakan serta pengesahan sebelum penghantaran borang dilakukan.

Muhammad Farid Ariffin Suhaimi

Amir Asyraff Jamin, 33.
Urusan pemfailan cukai secara dalam talian amat mudah memandangkan kebanyakan resit perbelanjaan boleh disimpan dan diurus secara sistematik pada era digital. Ia juga menjadikan proses pengisian e-filing lebih lancar, ditambah dengan penggunaan aplikasi serta portal yang mudah difahami dan mesra pengguna. Saya berharap agar LHDN dapat menambah baik kapasiti pelayan sistem bagi mengelakkan kesesakan khususnya pada waktu puncak.

Amir Asyraff Jamin

Barina Nani, 32.
Kali pertama saya memfailkan cukai pendapatan dua tahun lalu memang sukar, tetapi sistem e-filing yang dilaksanakan dalam talian memudahkan saya memahami proses tanpa perlu berulang-alik ke pejabat, sekali gus menjimatkan masa. Bagi saya, LHDN perlu terus memperkukuh sistem percukaian yang lebih telus, efisien dan mesra rakyat khususnya bagi membantu generasi muda yang berdepan cabaran kos sara hidup serta komitmen kewangan yang semakin meningkat melalui proses pengisytiharan lebih ringkas serta mudah difahami.

Barina Nani

Rahanah Abdul Rahman, 42.
Proses pemfailan cukai pendapatan mungkin agak mencabar jika dilakukan kali pertama kerana pembayar perlu memahami istilah serta jenis pelepasan cukai yang layak dituntut. Jadi bagi saya yang sudah mempunyai pengalaman, sistem e-filing sangat memudahkan kerana mempunyai sistem yang jelas dan tersusun. Namun, LHDN harus menyediakan lebih banyak panduan yang mudah difahami oleh golongan muda, terutamanya melalui platform digital dan media sosial supaya kesedaran serta kefahaman tentang tanggungjawab cukai dapat dipertingkatkan.

Rahanah Abdul Rahman

BERITA LAIN

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil

BERITA TERBARU

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil