KUCHING: Penyaluran bantuan kebajikan di Sarawak memasuki fasa baharu apabila Sistem Pengurusan Bantuan Kebajikan (eBantuanJKM) diperkenal secara rasmi di negeri ini, demi memastikan bantuan sampai lebih cekap, telus dan menyeluruh kepada golongan memerlukan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sistem itu beroperasi sejak lebih 15 tahun lalu, namun pelaksanaannya di Sarawak menandakan satu penyatuan penting antara sistem di peringkat negeri dan persekutuan demi memperkemas keseluruhan tadbir urus kebajikan.
“Dulu Sarawak ada sistem sendiri, persekutuan juga ada sistem tersendiri. Tapi apabila tidak disatukan, sukar untuk pantau dan kadangkala ada ruang berlaku penyelewengan.
“Sistem ini hadir sebagai penyelesaian – sangat ketat, telus dan efisien,” katanya ketika berucap merasmikan pelaksanaan eBantuanJKM di sebuah hotel di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, sistem itu memperkemas proses permohonan, pemantauan dan penyaluran bantuan dengan memanfaatkan data sahih serta teknologi digital.

