KUCHING: Gelombang muzik bawah tanah Sarawak bakal menggegarkan Sibu menerusi penganjuran Echoes of Chaos pada 28 November ini, sebagai sebahagian daripada siri promosi menjelang Borneo Metal Titan 2 (BMT II) – Wrath Upon Borneo di Kuching.
Program yang menghimpunkan enam kumpulan muzik dari bahagian selatan dan tengah Sarawak itu merupakan hasil kerjasama antara Phobia Records yang berpangkalan di Sibu dengan Midlife Crisis dari Kuching.

Penganjuran tersebut bukan sahaja menjadi platform promosi BMT II, malah membuka ruang kepada pemuzik tempatan untuk memperkenalkan karya serta identiti muzik masing-masing kepada khalayak yang lebih luas.
Menurut jurucakap acara, Sharveena Misyam, Sibu dan kawasan tengah Sarawak mempunyai potensi besar dalam perkembangan muzik underground, khususnya menerusi keunikan bahasa dan budaya masyarakat tempatan yang diterapkan dalam karya muzik.

Katanya, penganjuran itu turut memberi peluang kepada kumpulan dari Sibu dan Kanowit untuk berkongsi pentas bersama pemuzik dari luar kawasan, sekali gus memperluaskan jaringan dalam komuniti muzik bawah tanah.
“Sibu dan kawasan tengah Sarawak mempunyai keunikan tersendiri, terutamanya dalam muzik underground dan moden. Mereka mempunyai semangat patriotisme yang kuat dengan bahasa ibunda masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, antara contoh terbaik ialah kumpulan underground Larrong dari Matu-Daro yang ditubuhkan sejak era 1990-an dan pernah menjadi artis utama Borneo Metal Titan.
Kumpulan itu juga mempunyai pengalaman membuat persembahan di Indonesia, Taiwan dan Jepun, namun tetap mempertahankan penggunaan dialek Melanau sebagai identiti dalam karya muzik mereka.

Semangat berkenaan turut diteruskan oleh generasi baharu pemuzik tempatan, termasuk Kamati, De’Lyma dan Scar Stuff yang terus mengangkat bahasa ibunda menerusi pendekatan muzik masing-masing.
Sharveena berkata, pihaknya turut berhasrat menjadikan Sibu sebagai salah satu destinasi bagi penggemar seni kreatif yang ingin mengenali budaya dan identiti masyarakat tempatan menerusi muzik.
Selain persembahan muzik, katanya, kawasan tengah Sarawak turut mempunyai potensi dalam bidang fotografi, penerbitan fanzine dan seni grafik yang boleh dikembangkan sebagai sebahagian daripada ekosistem kreatif tempatan.
Beliau turut menggalakkan penggiat muzik untuk melihat potensi keusahawanan dalam industri tersebut, khususnya menerusi penghasilan dan penjualan barangan rasmi kumpulan muzik atau merchandise.
Sementara itu, antara kumpulan yang bakal menjadi perhatian pada Echoes of Chaos ialah Rotting Century dari Kuching yang membawa pendekatan brutal death metal.
Kumpulan berempat itu baru-baru ini melancarkan single terbaharu berjudul Defiance into Eternity dan bakal membuat penampilan sulung mereka di Sibu menerusi acara berkenaan.
Turut mengambil bahagian ialah De’Lyma, kumpulan muzik moden Iban yang semakin mendapat perhatian menerusi lagu seperti Semina Mimpi Aja dan Maria.
Sementara kumpulan dari Bintulu, EROS pula bakal membawa pendekatan nu-metal dengan pengaruh muzik alternatif era awal 2000-an, termasuk elemen bunyi yang sinonim dengan kumpulan Deftones.
Barisan persembahan turut dilengkapkan oleh Scar Stuff dari Kanowit serta The Japs dan The X Paradox yang berasal dari Sibu.
Echoes of Chaos dijadualkan bermula pada jam 5 petang, 28 November ini di Masterjam Rock & Roll Cafe and Bistro, Sibu, dengan sokongan premis berkenaan dan kemasukan percuma kepada semua pengunjung.
Program itu merupakan sebahagian daripada gerakan Road To Borneo Metal Titan 2 – Wrath Upon Borneo yang bakal berlangsung pada 5 Disember 2026 di 13 Box K. Bar, MJC, Kuching.


