KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM120 juta setiap tahun menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi menyokong pembangunan sekolah mubaligh serta institusi keagamaan bukan Islam di negeri ini.
Daripada jumlah itu, RM30 juta disediakan khusus setiap tahun bagi membantu sekolah mubaligh membangunkan infrastruktur dan menaik taraf kemudahan pembelajaran, manakala RM90 juta lagi disalurkan untuk pembangunan serta penambahbaikan rumah ibadat bukan Islam.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, peruntukan khusus bagi sekolah mubaligh itu meningkat daripada RM20 juta setahun ketika mula diperkenalkan pada 2021, sekali gus mencerminkan peningkatan sokongan kerajaan negeri dengan institusi pendidikan berkenaan.

Beliau berkata, sekolah mubaligh bukan sahaja memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan berkualiti, malah menjadi rakan strategik kerajaan dalam membentuk generasi masa depan yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
“Terima kasih kerana memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam pembangunan Sarawak. Sekolah mubaligh merupakan rakan penting dalam mendidik generasi seterusnya serta membina masa depan Sarawak yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan geran kewangan tahunan Kerajaan Sarawak 2026 berjumlah RM471,531 kepada empat sekolah mubaligh menerusi UNIFOR, di sini.

Cek bantuan berkenaan disampaikan oleh Timbalan Pengarah UNIFOR, Caroline Chen Tze Yian kepada wakil setiap sekolah terbabit.
Empat sekolah yang menerima bantuan itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) St Mary sebanyak RM129,575, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Mary (RM111,000), SK St Thomas (RM150,000) dan SMK St Thomas (RM80,956).
Bagi tempoh 2021 hingga 2025, keempat-empat sekolah berkenaan turut menerima bantuan terkumpul sebanyak RM4,926,506 daripada kerajaan negeri.
Secara keseluruhan, bantuan itu memberi manfaat kepada 2,280 murid serta 236 guru dan kakitangan di empat sekolah terbabit.
Sim berkata, selain menyokong institusi pendidikan, kerajaan negeri turut mengekalkan peruntukan RM90 juta setahun menerusi UNIFOR bagi membantu pembinaan, pembangunan dan menaik taraf infrastruktur gereja, kuil serta rumah ibadat bukan Islam yang lain.
Katanya, kerajaan negeri akan terus komited memastikan murid daripada semua komuniti mendapat akses kepada persekitaran pembelajaran yang kondusif, sekali gus menyokong pembangunan modal insan dan masa depan Sarawak.




