ARTIKEL

310 tapak niaga disediakan sempena Jualan Tahun Baharu Cina Kenyalang 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pusat Komersial Taman Kenyalang bakal kembali menjadi tumpuan pengunjung apabila 310 tapak niaga disediakan sempena Jualan Perayaan Tahun Baharu Cina Kenyalang 2027, sekali gus membuka peluang kepada peniaga tempatan merancakkan kegiatan perniagaan.

Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, program anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) itu akan berlangsung dari 22 Januari hingga 5 Februari 2027, disusuli Jualan Sate pada 5 hingga 7 Februari di lokasi sama.

“Penganjuran kedua-dua program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MBKS untuk menarik semula kehadiran pengunjung, sekali gus meningkatkan kegiatan ekonomi di kawasan komersial yang telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di bangunan MBKS hari ini.

Wee berkata, perubahan corak perbelanjaan pengguna yang kini mempunyai lebih banyak pilihan tempat membeli-belah dan menjamu selera turut memberi cabaran kepada peniaga kecil, khususnya di kawasan komersial lama.

“Justeru, penganjuran jualan perayaan itu diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Kenyalang, bukan sahaja untuk membeli barangan sempena Tahun Baharu Cina, malah mengunjungi premis perniagaan dan gerai makanan di sekitarnya,” ujarnya

Menyentuh penyediaan tapak niaga, beliau berkata, daripada 310 tapak yang disediakan, sebanyak 81 diperuntukkan kepada pemilik dan penyewa premis perniagaan, manakala 219 lagi dibuka kepada pemohon awam.

Menurut beliau, sebanyak 10 tapak selebihnya dikhaskan kepada peniaga sate, sekali gus memberi peluang kepada peniaga kecil, termasuk mereka yang menjalankan perniagaan dari rumah, untuk memperluas pasaran dan mendapatkan pelanggan baharu.

Dalam pada itu, Wee berkata, MBKS sebelum ini turut menganjurkan pelbagai program bagi menghidupkan suasana di Kenyalang, termasuk Jualan Perayaan Tahun Baharu Cina, Jualan Sate dan Festival Kuih Bulan di Taman Trafik Kenyalang.

BERITA LAIN

Lelaki 32 tahun maut dalam kemalangan di Niah

NIAH: Usaha pasukan bomba menyelamatkan seorang lelaki yang tersepit di dalam sebuah Perodua Bezza berakhir dengan tragedi apabila mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan

BERITA TERBARU