KUCHING: Penduduk Sungai Apong dan kawasan sekitarnya berpeluang menjimatkan perbelanjaan dapur menerusi program Jualan Rahmah MADANI Bergerak yang akan berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Sungai Apong, esok.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, program yang dijadualkan berlangsung dari 10 pagi hingga 3 petang itu menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan bagi membantu meringankan beban perbelanjaan isi rumah.
Menurutnya, penganjuran jualan tersebut di kawasan kejiranan bertujuan memudahkan penduduk mendapatkan barangan keperluan tanpa perlu melakukan perjalanan jauh, khususnya warga emas.

“Inisiatif ini bukan sahaja membantu keluarga mengurangkan perbelanjaan membeli barangan dapur, malah memudahkan penduduk mendapatkan keperluan harian berhampiran kediaman masing-masing.
“Kami berharap penganjuran jualan di kawasan kejiranan ini dapat memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk, terutama warga emas,” katanya pada sidang media yang diadakan di sini, pagi tadi.
Sehubungan itu, beliau mengajak penduduk Sungai Apong dan kawasan berhampiran supaya mengambil peluang mengunjungi program berkenaan sempena hujung minggu ini.
Katanya, mereka yang merancang membeli barangan keperluan harian pada hujung minggu dialu-alukan untuk singgah ke lokasi jualan tersebut.
Beliau turut menggalakkan orang ramai berkongsi maklumat program ini dengan ahli keluarga dan jiran tetangga supaya manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai penduduk.
Untuk rekod, Jualan Rahmah MADANI Bergerak akan berlangsung pada Sabtu, 14 November 2026, bermula jam 10 pagi hingga 3 petang di Gelanggang Bola Keranjang Sungai Apong.



