KUCHING: Projek menaik taraf dan melebarkan Jalan Bau, Jalan Batu Kitang serta Jalan Stephen Yong kepada jalan empat lorong yang disasarkan siap pada 2028 belum mempunyai tarikh mula pelaksanaan yang disahkan.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang berkata, tahun 2028 merupakan unjuran masa bagi pelaksanaan projek dan bukannya tarikh mula kerja yang dimuktamadkan.
“Pelantikan kontraktor dan permulaan kerja pembinaan bagi fasa pertama, iaitu laluan dari Bau ke Keranji, mungkin dilaksanakan pada 2028, tertakluk kepada penyelesaian proses perancangan, kelulusan serta pembiayaan yang diperlukan.
“Fasa pertama daripada tiga projek yang dicadangkan itu sekarang masih berada pada peringkat reka bentuk dan kos bagi setiap projek masing-masing dianggarkan RM500 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung penjelasan cadangan menaik taraf dan melebarkan Jalan Bau, Jalan Batu Kitang serta Jalan Stephen Yong kepada jalan empat lorong di Pusat Khidmat ADUN Batu Kitang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kekeliruan susulan laporan bercanggah dalam akhbar dan siaran berita televisyen berhubung cadangan tarikh permulaan projek menaik taraf dan melebarkan jalan dari Bau ke Keranji, sama ada pada 2027 atau 2028.
Menurutnya, penjelasan itu juga bertujuan memperbetul salah faham yang timbul susulan beberapa persoalan yang diajukan kepadanya ketika lawatan ke Telaga Air pada 8 Oktober 2026.
“Pertama sekali, saya ingin menegaskan bahawa cadangan menaik taraf dan melebarkan Jalan Bau, Jalan Batu Kitang serta Jalan Stephen Yong kepada jalan empat lorong merupakan projek infrastruktur yang benar-benar dirancang dan penting.
“Projek ini melibatkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Batu Kitang, Serembu dan Bau. Perbincangan serta rundingan bersama pihak berkepentingan, Jabatan Kerja Raya (JKR), perunding kejuruteraan dan masyarakat setempat dilakukan.
“Memandangkan skala, kerumitan serta implikasi kewangan projek ini, perancangan dan penyelarasan rapi amat penting bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar. Projek yang dicadangkan ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa,” katanya.
Sementara itu, fasa pertama melibatkan kerja menaik taraf dan melebarkan jalan dari Bau ke Keranji kepada jalan empat lorong.
Seterusnya, fasa kedua pula merangkumi kerja menaik taraf dan melebarkan jalan dari Keranji ke Jalan Stephen Yong, termasuk pembinaan sebuah jambatan tambahan dua lorong bersebelahan Jambatan Batu Kitang sedia ada.
Manakala, fasa ketiga melibatkan kerja menaik taraf dan melebarkan baki jajaran jalan antara Jalan Stephen Yong dengan lampu isyarat Batu Tujuh.
Ketiga-tiga fasa projek berkenaan melibatkan anggaran kos berjumlah RM1.5 bilion.



