Ecuador isytihar darurat

QUITO: Pertempuran tercetus antara pemprotes dan polis di Ecuador selepas Presiden Lenin Moreno mengisytiharkan darurat pada Khamis berikutan demonstrasi terhadap kenaikan harga bahan api akibat penghapusan subsidi.

Polis melepaskan gas pemedih mata terhadap pemprotes yang membaling batu dan bom petrol tidak jauh dari pejabat kerajaan di pusat bandar Quito.

Perintah darurat itu membolehkan kerajaan menyekat pergerakan, mengerahkan pasukan bersenjata untuk mengekalkan ketenteraman dan menapis akhbar.

Ia berkuat kuasa selama 60 hari, yang mana selepas itu ia boleh dilanjutkan selama 30 hari lagi kata kerajaan.

Moreno memberitahu pemberita, beliau mengambil langkah “melindungi keselamatan rakyat dan untuk mengelak keadaan huru-hara.”

Protes tersebut yang terbesar dalam sedekad, dimulakan oleh sektor pengangkutan dan disertai oleh para pelajar dan kumpulan lain.

Mereka melumpuhkan pengangkutan awam di beberapa kawasan, sementara pertempuran tercetus antara polis dan penunjuk perasaan yang menghadang jalan raya.

Lebih 21 anggota polis cedera dalam keganasan tersebut manakala 277 orang ditangkap kerana “vandalisme”, kata Menteri Pertahanan Oswaldo Jarrin.

Tiada angka boleh diperoleh berkaitan jumlah orang yang cedera tetapi beberapa jurugambar media semasa ketegangan itu.

Demosntrasi berlaku sebagai tindak balas terhadap kenaikan sehingga 120 peratus harga bahan api, yang berkuat kuasa pada Khamis selepas kerajaan menghapuskan subsidi sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapat pinjaman meskipun hutang awamnya tinggi.

Kerajaan membiayai AS$1.3 bilion setahun untuk subsidi. Perjanjian IMF ditandatangani pada Mac, membenarkan Ecuador meminjam AS$4.2 bilion. – AFP

Suara Sarawak