MIRI: Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni menegaskan komitmen kerajaan terhadap peralihan tenaga yang adil dan berstruktur menerusi pelaksanaan Akta Kecekapan dan Penjimatan Tenaga (EECA) yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.
“Akta ini memperkukuh kecekapan tenaga melalui pematuhan piawaian Building Energy Intensity (BEI) dan pelaksanaan audit tenaga bagi bangunan berskala besar. Usaha ini penting bagi menyokong sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.”
Beliau turut menyifatkan jurutera sebagai pemain utama dalam melaksanakan EECA — sebagai pereka bentuk, pelaksana, penasihat dan pendidik.
“Sebab itu program seperti ini penting untuk menyelaraskan tindakan profesional dengan hala tuju dasar negara.”
Tambahnya lagi, seminar dan lawatan industri yang dianjurkan menyediakan pendedahan akademik dan praktikal yang mampu memperkukuh kapasiti peserta serta merangsang inovasi tenaga di peringkat akar umbi.
“Saya percaya inisiatif ini akan memberi inspirasi kepada jurutera muda dan profesional untuk terus meneroka peranan mereka dalam membentuk masa depan tenaga negara. Gunakan peluang ini untuk bertanya, berkongsi dan bertindak ke arah perubahan yang lebih lestari.”

