Dunia hiburan Dayak sekali lagi digegarkan dengan kehadiran karya terbaharu daripada anak jati Betong yang cukup dikenali, iaitu Eisner Nala Jackson atau lebih mesra disapa dengan nama pentasnya, Eisner Nala.
Beliau, yang juga merupakan wartawan serta pembaca berita di Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) ini kembali mempertaruhkan vokalnya menerusi karya berjudul Tepejuh.

Lagu berentak rock perlahan balada yang cukup mendalam jiwanya ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Eisner sendiri dengan sentuhan magis komposer berbakat, Oliver Christy Henry.
Menariknya, proses kreatif Tepejuh bukanlah karya yang dihasilkan dalam sekelip mata.
Ia mula dikarang seawal 2025 sebelum melalui proses rakaman dan penggambaran video muzik yang teliti pada tahun ini di bawah naungan serta pengurusan OCH Sound Production.

Bagi Eisner, Tepejuh merupakan satu kepuasan peribadi. “Saya berasa sangat teruja kerana berjaya mencipta lirik yang kemudiannya menjadi lagu yang cukup menarik untuk didengar.
“Meskipun jalan cerita lagu ini bersifat fiksyen dan tidak mempunyai kaitan dengan kisah peribadi, sambutan luar biasa daripada peminat membuktikan lagu ini menepati trend muzik semasa yang sedang hangat diperkatakan,” ujarnya kepada Suara Sarawak.
14 TAHUN PERJALANAN SENI
Bakat Eisner Nala bukan sekadar hadir semalam.
Pelibatannya dalam dunia seni bermula seawal usia tiga tahun apabila sering membuat panggilan ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyertai segmen “Anak Mit”. Namun, puncak kerjayanya bermula pada 2012 selepas menjuarai pertandingan Bintang Klasik Iban.
Sejak itu, perjalanan seni beliau bersama-sama OCH Sound Production melangkaui 14 tahun, dengan lebih 20 lagu hit termasuk Keling Pesaka Ati dan Pengerindu Sabun Mandi.

Dunia hiburan juga mematangkan Eisner. Beliau pernah melalui detik pahit apabila berdepan dengan peminat obsesif yang mengancam keselamatan dirinya serta isu identiti yang disalahgunakan.
Namun, semua itu terubat dengan manisnya kejayaan apabila beliau diangkat sebagai penerima anugerah Persembahan Terbaik Anugerah Carta Sapa Juara RTM (2015) dan Vokal Terbaik ACSJ (2018).
Melihat perkembangan industri muzik Dayak hari ini, Eisner melahirkan rasa bangga terhadap kreativiti bakat baharu yang semakin berani bereksperimen dengan genre antarabangsa, seperti muzik dari Indonesia dan Barat.
Beliau berharap industri muzik Iban akan terus berkembang maju dan mampu berdiri setaraf dengan muzik di peringkat global. Buat para peminat yang tidak jemu menyokong perjalanan seninya, Eisner Nala menitipkan penghargaan yang tidak terhingga.
Bagi beliau, sokongan keluarga, ibu bapa dan peminat merupakan pemangkin utama untuk beliau terus berkarya. Bagi mereka yang belum mendengar Tepejuh, layari saluran YouTube OCH Sound Production untuk merasai sendiri keunikan balada Iban moden ini.



