ARTIKEL

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menunjukkan teks ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini | Foto: Mohd Alif Noni

Ekonomi Sarawak terus berkembang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ekonomi Sarawak terus berkembang dengan berdaya tahan, dipacu permintaan domestik yang kukuh serta disokong pelaksanaan berterusan pelbagai inisiatif strategik Kerajaan Sarawak.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelancongan kekal sebagai penyumbang utama, dengan ketibaan pelawat mencecah 4.8 juta pada 2024, didorong strategi promosi yang disasarkan dan peningkatan infrastruktur perhubungan.

“Pada suku pertama 2025, ketibaan pelawat kekal stabil pada paras 1.2 juta, mengukuhkan pertumbuhan subsektor perkhidmatan seperti perdagangan borong dan runcit, penginapan dan pengangkutan,” katanya.

Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua berkata, pada 2024, sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik, didorong oleh pengeluaran yang lebih tinggi daripada Gas Asli Cecair (LNG).

“Jumlah eksport LNG meningkat sebanyak 3.8 peratus disokong oleh permintaan global yang kukuh dan harga yang menggalakkan.

“Bagi suku pertama tahun ini, eksport LNG, kekal stabil, namun kesan daripada tarif balas menyebabkan pasaran mula melembap, mungkin membawa kepada pengurangan permintaan tenaga dan lebihan penawaran LNG di pasaran untuk baki tahun ini.

“Pengeluaran sektor minyak dan gas terus menunjukkan trend positif pada suku pertama 2025,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Uggah berkata walaupun terdapat sedikit penurunan dalam kadar pengekstrakan minyak sawit mentah (CPO), daripada 19.8 peratus pada 2023 kepada 19.4 peratus pada 2024, sektor ini kekal berdaya tahan, disokong peningkatan hasil dan kecekapan pengeluaran.

Suku pertama 2025 katanya dijangka menyaksikan peningkatan pengeluaran kelapa sawit, dengan FFB mencecah 3.3 tan sehektar, meningkat daripada 3.1 tan bagi tempoh sama 2024.

Sementara dari segi pelaburan, Uggah berkata Sarawak berjaya menarik pelaburan yang diluluskan bernilai RM7.6 bilion dalam sektor pembuatan, dengan penekanan kuat ke atas industri bernilai tinggi, termasuk bahan kimia, elektrik dan elektronik, serta produk pelbagai.

Pada 2024, katanya Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan melabur hampir RM15 bilion dalam bentuk peruntukan pembangunan modal.

“Bagi 2025, Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM10 bilion untuk memastikan kesinambungan pelaksanaan inisiatif yang sedang berjalan serta pelaksanaan projek infrastruktur baharu,” ujarnya.

Bagi kadar inflasi pula katanya ia dijangka menyederhana kepada 2.4 peratus tahun ini, mencerminkan perlambatan kenaikan harga barangan.

“Pemacu utama inflasi ialah makanan dan minuman bukan alkohol, perumahan, utiliti, serta pengangkutan. Trend penurunan kadar inflasi ini menunjukkan kestabilan harga yang lebih baik dalam sektor terbabit,” katanya.

Tambahnya, pada suku pertama 2025, kadar inflasi Sarawak terus menurun kepada purata 1.5 peratus, berbanding 2.2 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

“Tekanan inflasi dijangka kekal reda sepanjang 2025, dengan kadar inflasi diunjur kekal antara 2.3 hingga 2.5 peratus,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Uggah berkata pasaran buruh Sarawak terus menunjukkan ketahanan dengan kadar pengangguran kekal stabil pada 3.5 peratus pada 2024.

Jumlah kekosongan jawatan turut meningkat daripada 240,529 pada 2023 kepada 307,533 pada penghujung 2024.

Daripada jumlah itu, sekitar 15.5 peratus adalah untuk golongan profesional berkemahiran tinggi, menggambarkan usaha berterusan Sarawak memacu pembangunan modal insan selari keperluan industri bernilai tinggi.

BERITA LAIN

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi