KOTA SAMARAHAN: Keindahan landskap, kepelbagaian budaya serta kekayaan warisan Sarawak berjaya diterjemahkan menerusi karya seni yang dihasilkan oleh 16 artis dari Malaysia, Singapura dan Thailand sepanjang ekspedisi seni yang menjelajah enam bahagian di negeri ini.
Ekspedisi yang berlangsung dari 10 hingga 18 Jun lalu itu menyaksikan para artis mengembara ke Miri, Bintulu, Mukah, Sibu, Sri Aman dan Kuching sambil menghasilkan karya secara langsung di lokasi menerusi lukisan, lakaran serta dokumentasi visual yang menawarkan perspektif unik landskap, warisan dan kehidupan masyarakat Sarawak.
Hasil karya tersebut dipamerkan di Galeri Hoan, La Promenade Mall di sini menerusi “Under Sarawak Skies: A Special Preview”, yang berlangsung hari ini dan menampilkan karya-karya terpilih daripada ekspedisi seni itu.

Pratonton sehari tersebut dibuka kepada orang ramai dari 11 pagi hingga 6 petang sebelum pameran penuh “Under Sarawak Skies” diadakan pada 16 September depan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, beliau percaya pengalaman yang dilalui artis sepanjang ekspedisi tersebut merupakan sesuatu yang amat luar biasa khususnya kepada mereka yang datang dari luar Sarawak.
Katanya, penyertaan artis dari Thailand, Singapura serta beberapa negeri di Semenanjung Malaysia membuktikan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi seni, budaya dan pelancongan yang unik.

“Perjalanan yang ditempuhi sepanjang program ini juga sememangnya sesuatu yang mengagumkan. Peserta meredah hujan dan panas, menempuh jadual perjalanan yang padat… sudah tentu mereka keletihan.
“Namun, kami amat menghargai komitmen dan dedikasi ditunjukkan kerana sebagai artis saya percaya mereka lebih memahami semangat, kesungguhan dan pengorbanan yang diperlukan dalam menghasilkan sesebuah karya seni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Pratonton Khas: Under Sarawak Skies di Galeri Hoan, La Promenade Mall, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pameran penuh hasil karya ekspedisi tersebut akan diadakan pada 16 September depan, iaitu tarikh yang cukup signifikan kepada Sarawak dan Sabah.
Terdahulu, ekspedisi tersebut meliputi destinasi ikonik dan bersejarah termasuk Kampung Wireless di Miri, Fort Alice di Sri Aman serta Padungan dan Kuching Old Bazaar di Kuching.
Perjalanan itu juga merangkumi lawatan ke tapak budaya dan komuniti seperti Rumah Panjang Patrick Libau di Miri, Kampung Jalan Abang Galau di Bintulu, Sapan Puloh di Kampung Tellian, Mukah serta Pasar Tamu Bintulu.
Antara artis yang menyertai program tersebut ialah Ng Woon Lam, Ler Hock Chuan dan anak kelahiran Sarawak, Marvin Chew dari Singapura; Muhammad Rojana-Udomsat dari Thailand; Lee Choon Kooi, Lee Eng Beng, Tham Siew Moi, Calvin Chua, Jarence Yoong, Khoo Cheang Jin, Tan Suz Chiang, Ong Jian Yang, Peter Liew dan Christina Chan dari Semenanjung Malaysia; serta artis Sarawak Brandon Riton dan Ricky Hi.





