KUCHING: Sebanyak 60 reruai dijangka ditempatkan sempena Ekspo Hartanah Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) 2025 yang dijadual berlangsung dari 22 hingga 24 Ogos di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Pengerusi pengelola dan Penolong Setiausaha Agung SHEDA I, Peter Lau Hui Han berkata pameran hartanah tahunan terbesar di Sarawak itu akan mengumpulkan pemaju terkemuka, pempamer gaya hidup rumah dan pencari hartanah di bawah satu bumbung.
Katanya ia sekali gus menawarkan peluang yang luas untuk para pempamer berhubung dengan bakal pembeli dan rakan industri.
“Ekspo ini lebih daripada sekadar pameran, ia adalah platform untuk pembeli rumah termasuk mereka yang mempertimbangkan program Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H) meneroka pelbagai pilihan hartanah.
“Dengan adanya institusi pembiayaan, pempamer reka bentuk dalaman dan pameran gaya hidup, kami menyasarkan untuk mencipta pengalaman yang komprehensif dan memberi inspirasi kepada pembeli untuk membuat keputusan dalam bajet mereka,” katanya pada sidang media pelancaran Ekspo Hartanah SHEDA 2025 di pejabat SHEDA Kuching di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Peter berkata ahli SHEDA layak mendapat diskaun awal 10 peratus manakala bukan ahli menerima 8 peratus, dengan kedua-duanya terpakai bagi mereka yang mendaftar dan membuat bayaran pendahuluan 50 peratus menjelang 6 Mei.
“Pempamer yang kembali daripada ekspo 2022 hingga 2024 layak mendapat diskaun tambahan 9 peratus, dengan ahli SHEDA menerima potongan eksklusif 10 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata ekspo tahun ini juga akan menampilkan SHEDA ENCORE, persidangan industri serentak untuk terus menyokong perkongsian pengetahuan dan rangkaian dalam kalangan pihak berkepentingan.
Untuk pertanyaan dan tempahan reruai, hubungi Florence di 082-366334 atau layari laman Facebook SHEDA atau www.sheda.org.my.

