SARIKEI: Penganjuran Ekspo Pendidikan Sarawak 2025 menjadi platform penting dalam memperkukuh ekosistem pendidikan negeri serta menyediakan akses lebih luas kepada generasi muda untuk menerokai peluang pembelajaran dan kerjaya.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, ekspo anjuran Yayasan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) itu amat signifikan dalam membimbing pelajar serta ibu bapa membuat pilihan terbaik bagi masa depan.
“Generasi muda sangat memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk meneruskan pelajaran dan melangkah ke alam pekerjaan.
“Usaha pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam penganjuran ekspo seperti ini sangat tepat untuk kita memberi bantuan dan nasihat kepada mereka supaya tidak hilang arah selepas menamatkan pendidikan di peringkat sekolah menengah,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Kuala Rajang berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak PPD Sarikei 2025 di Dewan Sentral Sarikei, semalam.
Menurutnya, program berskala besar seperti Ekspo Pendidikan Sarawak, SCaT Fair dan Pro-DR yang dilaksanakan di seluruh negeri berfungsi memberi pendedahan lebih menyeluruh kepada pelajar mengenai pilihan jurusan bersesuaian dengan minat serta kehendak industri.
Katanya, dalam konteks pembangunan negeri, Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga mahir bagi menyokong pelbagai inisiatif strategik termasuk industri hidrogen, tenaga hijau, hab angkasa lepas dan syarikat penerbangan.

“Negara-negara maju seperti Jepun, Korea dan Eropah menunjukkan bahawa sehingga 80 peratus tenaga kerja mereka berkemahiran teknikal dan vokasional.
“Justeru, Sarawak juga perlu mencontohi nisbah ini agar mampu bersaing di peringkat global,” jelasnya.
Len Talif turut menyeru semua pihak bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan generasi muda mendapat pendedahan secukupnya mengenai laluan pendidikan dan kerjaya.
“Ini termasuklah peranan institusi pendidikan swasta, agensi kerajaan, bank, badan bukan kerajaan (NGO), PIBKS dan ibu bapa,” ujarnya.
Dalam pada itu, ekspo yang berlangsung serentak di 30 lokasi seluruh Sarawak itu dijangka menjadi pemangkin kepada pencapaian hasrat negeri ke arah Sarawak Maju Makmur 2030.

