ARTIKEL

Eksport sawit Sarawak cecah RM5.93 bilion

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

OSMAN RAZALI

KUCHING: Pendapatan eksport industri minyak sawit Sarawak mencecah RM5.93 bilion bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, sekali gus mencerminkan prestasi memberangsangkan sektor tersebut walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, industri minyak sawit terus mendapat manfaat daripada pengukuhan harga komoditi global serta peningkatan permintaan terhadap tenaga boleh diperbaharui dan produk berasaskan bio ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Minat yang semakin meningkat terhadap biodiesel dan minyak sayuran lestari dijangka terus merangsang permintaan pasaran, sekali gus menyokong harga minyak sawit mentah (MSM) lebih tinggi pada masa hadapan.

Dalam tempoh sama, pengeluaran MSM meningkat 5.3 peratus kepada 1.33 juta tan berbanding 1.27 juta tan pada tempoh sama tahun lalu.

“Pengeluaran minyak isirong sawit mentah (CPKO) turut mencatat peningkatan ketara sebanyak 20.4 peratus daripada 112,217 tan kepada 135,137 tan.

“Prestasi ladang juga menunjukkan peningkatan apabila purata hasil Tandan Buah Segar (BTS) naik daripada 4.6 tan sehektar kepada 4.7 tan sehektar.

“Kadar Pengekstrakan Minyak (OER) turut meningkat daripada 19.1 peratus kepada 19.7 peratus, manakala kadar pengekstrakan CPKO bertambah daripada 45.6 peratus kepada 46.2 peratus,” ujarnya.

Menyentuh pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di Sarawak, beliau berkata sehingga April 2026, sebanyak 203,000 hektar kawasan kelapa sawit di bawah Pekebun Kecil Bebas, 57,000 hektar di bawah Pekebun Kecil Tersusun dan 1.2 juta hektar kawasan estet telah memperoleh pensijilan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan industri getah, ADUN Kemena berkata, sektor berkenaan masih mempunyai potensi besar belum diterokai, melibatkan kira-kira 164,000 hektar kawasan tanaman dengan anggaran pendapatan eksport melebihi RM1.4 bilion setahun.

Bagi memulihkan industri tersebut, katanya, Lembaga Industri Getah Sarawak (SARIB) telah menjalinkan kerjasama dengan pekebun kecil dan sektor swasta, sekali gus berjaya menyatukan 1,000 hektar ladang getah dan menjana kira-kira RM400,000 pendapatan kepada petani terlibat sejak Oktober 2025.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak kerana memperuntukkan 490 hektar bekas Stesen Penyelidikan Getah LGM Similajau kepada SARIB tahun ini, yang mencerminkan komitmen kukuh kerajaan negeri memulihkan industri getah serta menyokong pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya.

Dalam usaha memastikan kemampanan industri getah, Kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan RM29 juta bagi program pembangunan pekebun kecil dan penanaman semula melibatkan kawasan seluas 1,450 hektar pada tahun 2026, berbanding RM24 juta pada tahun lalu.

Melalui pembiayaan kerajaan negeri, SARIB akan memberi tumpuan kepada usaha pemulihan melibatkan 500 hektar kawasan pada tahun ini.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), SARIB akan terus mengutamakan program pemulihan serta pelbagai inisiatif bagi meningkatkan produktiviti industri dan memperkukuh sumber pendapatan masyarakat luar bandar.

BERITA LAIN

Isu warga emas bukan masalah keluarga semata-mata

KUCHING: Sudah dibenarkan keluar hospital, namun masih tidak dapat pulang ke rumah kerana tiada ahli keluarga tampil mengambil atau menguruskan kepulangan mereka. Itulah antara situasi

BERITA TERBARU

Isu warga emas bukan masalah keluarga semata-mata

KUCHING: Sudah dibenarkan keluar hospital, namun masih tidak dapat pulang ke rumah kerana tiada ahli keluarga tampil mengambil atau menguruskan kepulangan mereka. Itulah antara situasi