ARTIKEL

Hamzah ketika ditemui pemberita. | FOTO AMMAR MIRZA

Agensi khusus pantau RTP mampu percepat pelaksanaan projek – Hamzah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penubuhan agensi khusus untuk memantau pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) mampu mempercepat penyampaian projek kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim berkata, cadangan yang dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu turut mendapat sokongan beberapa ADUN lain.

Hamzah menyampaikan sumbangan sempena program STEPS: CSR 2026 di Kampung Jawa Semenggok Lama, hari ini. | FOTO AMMAR MIRZA

“Pelaksanaan projek masih mengambil masa lebih lama daripada yang diharapkan berikutan jumlah peruntukan besar dan banyak projek yang perlu dilaksanakan kerajaan negeri.

“Agensi yang memberi tumpuan khusus kepada projek ini akan membantu menterjemahkan komitmen kerajaan kepada hasil yang dapat dilihat rakyat dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program STEPS: CSR 2026 di Kampung Jawa Semenggok Lama, hari ini.

Tambah Hamzah, kelewatan pelaksanaan projek sering dianggap sebagai kegagalan kerajaan dan wakil rakyat, sekali gus menyebabkan mereka perlu membuat susulan dengan pucuk kepimpinan bagi memastikan projek disegerakan.

Mengenai kawasan Stakan, beliau menyifatkannya sebagai kawasan yang harmoni dan berbilang kaum tanpa satu kaum mendominasi, sambil menegaskan komitmennya untuk mengekalkan keharmonian itu.

Katanya, antara isu utama di kawasan berkenaan ketika beliau mula memegang jawatan ialah banjir dan tekanan air rendah yang dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi dengan sokongan kerajaan negeri.

Mengulas program STEPS: CSR 2026 anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Hamzah menyifatkannya sebagai situasi menang-menang kerana mahasiswa dapat memahami kehidupan masyarakat kampung, manakala penduduk mendapat manfaat daripada kepakaran golongan graduan.

Justeru, beliau berharap program seumpama itu dapat dilaksanakan secara konsisten di kampung-kampung dalam kawasan Stakan, khususnya bagi menyampaikan maklumat berkaitan kesihatan dan pengurusan kewangan isi rumah kepada golongan suri rumah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU