KUCHING: Sudah dibenarkan keluar hospital, namun masih tidak dapat pulang ke rumah kerana tiada ahli keluarga tampil mengambil atau menguruskan kepulangan mereka.
Itulah antara situasi yang dihadapi segelintir warga emas, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap cabaran penjagaan golongan berusia yang semakin memerlukan perhatian di Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, keadaan itu tidak lagi boleh dianggap sebagai masalah keluarga semata-mata, sebaliknya isu sosial yang memerlukan tindakan bersama kerajaan, masyarakat dan pertubuhan kebajikan.
“Cabaran tersebut semakin relevan apabila Sarawak kini menghampiri fasa masyarakat menua dengan beberapa daerah sudah menunjukkan ciri-ciri berkenaan,” katanya pada Karnival Kebajikan Majlis Kebajikan Sosial Sarawak (SWCS) di sini, hari ini.
Dr. Sim berkata, perubahan struktur penduduk menuntut pendekatan kebajikan yang lebih menyeluruh, khususnya dalam menyediakan kemudahan dan sokongan yang memenuhi keperluan warga emas.
Katanya, perancangan taman rekreasi, misalnya, tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kemudahan permainan kanak-kanak, sebaliknya perlu dilengkapi peralatan senaman yang sesuai untuk golongan berusia.
Beliau turut menekankan kepentingan latihan fizikal, terutama senaman menguatkan otot paha bagi membantu warga emas mengekalkan keseimbangan badan serta mengurangkan risiko terjatuh yang boleh menyebabkan kecederaan serius.
“Selain aspek kesihatan fizikal, kesejahteraan emosi warga emas juga perlu diberikan perhatian kerana terdapat golongan berusia yang mengalami kesunyian meskipun mempunyai kemampuan kewangan,” katanya.
Menurutnya, warga emas juga perlu diberi peluang mengikuti latihan kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran digital bagi membolehkan mereka menggunakan teknologi dengan lebih selamat termasuk mengenal pasti risiko penipuan dalam talian.
Katanya, pendedahan teknologi tidak seharusnya tertumpu kepada generasi muda sahaja kerana golongan berusia juga perlu dibantu supaya tidak ketinggalan dalam arus perkembangan digital.
“Pembangunan Sarawak tidak seharusnya dinilai berdasarkan kemajuan ekonomi atau kekayaan negeri semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kesejahteraan rakyat serta keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
“Sehubungan itu, kerjasama antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan masyarakat perlu terus diperkukuh bagi memastikan kebajikan semua golongan mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.


