KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Datuk Elaine Kang mendedahkan beliau pernah menerima bayaran RM8 bagi setiap persembahan di majlis perkahwinan ketika berusia 10 tahun, sebelum dikenali menerusi lagu patriotik Sejahtera Malaysia.
Elaine, 61, berkata beliau membesar dalam keluarga miskin sehingga terpaksa berhenti sekolah sebelum tamat tingkatan dua. Walaupun tidak pernah menjuarai pertandingan nyanyian, beliau terus menerima undangan membuat persembahan.

Menurut Bernama, nasibnya berubah selepas berjaya memperoleh kontrak sebagai penyanyi tetap di Federal Hotel di Kuala Lumpur. Bakatnya kemudian membuka peluang menghasilkan album dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris.
Beliau berkata kejayaan bertahan lebih 40 tahun dicapai kerana tidak memilih pekerjaan, sentiasa merebut peluang serta menubuhkan syarikat produksi dan menceburi perniagaan sebagai pendapatan tambahan.
Elaine turut mengingatkan penyanyi muda supaya tidak bergantung kepada populariti semata-mata, sebaliknya rajin menimba ilmu, mengikuti perkembangan semasa dan membuat persediaan demi masa depan.



