PELAWAK Shuib Sepahtu mengambil tanggungjawab atas ketegangan yang berlaku antara dirinya dengan rakan seperjuangannya, Jep Sepahtu, apabila tampil memohon maaf secara terbuka selepas hampir seminggu berdiam diri.
Menerusi video yang dikongsikan di media sosial, Shuib mengakui konflik berkenaan merupakan antara tempoh paling mencabar buat dirinya, terutamanya ketika berdepan dengan pelbagai kecaman dan kritikan susulan kenyataan Jep pada 8 Oktober lalu.
Lebih meruntun perasaannya, kontroversi itu bukan sahaja memberikan kesan terhadap dirinya, malah turut mengheret isteri, anak-anak, keluarga serta perniagaan yang diusahakannya.
Shuib berkata, dia memilih untuk membaca kenyataan yang disediakan bagi mengelakkan kata-katanya disalah tafsir atau menimbulkan salah faham baharu.
Menurutnya, dia sebenarnya menghubungi Jep menerusi aplikasi WhatsApp pada jam 1.51 pagi Jumaat lalu, iaitu kurang daripada 24 jam selepas kenyataan rakannya itu menjadi perhatian umum.
Mesej berkenaan dihantar bagi menyampaikan permohonan maaf atas tindakannya bersama-sama Mamat yang menyindir Jep ketika muncul dalam satu episod Do’l’s Podcast bersama-sama pelawak Azlee Senario.
“Saya amat kesal dan memohon maaf kepadanya berulang kali. Saya menganggap perkara ini sebagai ujian buat diri saya dan balasan atas kekhilafan saya dalam berkata-kata,” katanya.
Bagaimanapun, Shuib tidak dapat memastikan sama ada Jep membaca mesej berkenaan, meskipun percaya rakannya itu telah menerimanya.
Dalam penjelasan sama, Shuib turut mengakui kekhilafan dan keegoan dirinya mungkin menyumbang kepada keretakan hubungan persahabatan mereka.
Dia juga mengambil kesempatan untuk mengenang kembali perjalanan persahabatan yang terjalin selama hampir 20 tahun, termasuk pengalaman susah dan senang serta kejayaan yang pernah dikecapi bersama-sama.
Bagi Shuib, segala kenangan sepanjang mereka bekerjasama akan terus menjadi antara pengalaman paling bermakna dalam hidupnya, meskipun hubungan mereka kini berdepan dengan ujian.
Malah, dia secara khusus menyampaikan permohonan maaf kepada Jep, atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin, sambil mendoakan kesejahteraan rakannya itu, isterinya, Sari Yanti serta seluruh keluarga mereka.
Shuib turut berharap agar segala permasalahan yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik dan urusan kedua-dua pihak dipermudah.
Terdahulu, Jep meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan Shuib yang didakwa masih membangkitkan isu persahabatan mereka menerusi audio siar, walaupun perkara itu pernah disentuh sebelum ini.
Jep turut menyatakan dia memohon maaf atas perkara yang berlaku, namun berasa tidak selesa apabila isu berkenaan terus diperkatakan secara terbuka.
Selain isu persahabatan, Jep turut membangkitkan persoalan mengenai pembayaran yang dikaitkan dengan kumpulan mereka.
Menurut Jep, berdasarkan pemahamannya, tiada perjanjian pembayaran dibuat bagi kumpulan itu kerana urusan terdahulu dilaksanakan secara individu.
Dia juga meminta agar sebarang persoalan berkaitan pembayaran dibincangkan secara terus bagi mengelakkan salah faham berpanjangan.



