KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah tersohor, Khir Rahman kembali beraksi di pentas teater selepas hampir sedekad menerusi pementasan Teater Muzikal Kanak-Kanak Pengembaraan Sang Kancil di Istana Budaya bermula 13 November ini.
Khir, 53, yang memegang watak Raja Rimba menyifatkan pembabitannya sebagai kepulangan ke gelanggang asal seninya selain meluahkan rasa teruja dapat bekerjasama dan melihat kesungguhan barisan pelakon cilik menjayakan latihan.
Pementasan arahan Nawfal Zamri dengan skrip nukilan Siti Jasmina Ibrahim itu menampilkan murid tahun enam, Ahmad Zaid Ahmad Zaha sebagai Sang Kancil yang berani mempertahankan keluarganya daripada ancaman Taring.
Pengarah Produksi Istana Budaya, Hanida Mohamed Yusof memaklumkan bahawa produksi berkonsepkan magika nusantara itu menggabungkan cerita rakyat tempatan dengan persembahan 46 pelakon kanak-kanak serta iringan muzik secara langsung oleh 36 pemuzik orkestra bagi memupuk kecintaan terhadap warisan sejak usia muda.
Menurut Bernama, pementasan selama tiga hari di Panggung Sari itu dibuka untuk tontonan kanak-kanak berusia tiga tahun ke atas dan orang ramai boleh menempah tiket melalui media sosial rasmi Istana Budaya atau menghubungi talian 03-4026 5555.



