Elak hasut individu bertindak negatif di media sosial

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, masyarakat perlu lebih prihatin dalam menggunakan media sosial dan tidak memburukkan keadaan dengan menghasut atau menyokong mana-mana individu untuk bertindak negatif.

Mengulas insiden kematian seorang gadis berusia 16 tahun yang merealisasikan undian netizen yang mengundinya untuk ‘mati’ dengan cara membunuh diri di Bandar Baru Batu Kawah, beliau mengakui sangat sedih mendengar berita tersebut.

“Ini kerana gadis semuda 16 tahun itu mungkin insan yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kita ketahui juga gadis tersebut sangat tertekan dengan masalah keluarga yang dihadapinya, dan ekoran masalah itu, dia membunuh diri,”katanya kepada media selepas sidang media Ten Outstanding Young Malaysians (TOYM) 2019.

Katanya, beliau lebih sedih apabila dimaklumkan keputusan gadis muda itu dipercayai didorong oleh keputusan undi netizen.

“Kepada sesiapa yang mempunyai masalah, mereka seharusnya mencari seseorang yang boleh mendengar masalah mereka, selain menghubungi mana-mana organisasi tertentu dalam usaha menyelesaikan masalah tersebut.

“Sebesar mana pun masalah yang dihadapi, pasti ada jalan penyelesaiannya, tidak kira masalah keluarga, masalah kewangan, masalah dengan rakan dan sebagainya.

“Saya nasihatkan semua remaja di negeri ini agar dapatkan lebih ramai kawan, kerana dari situ akan ada ruang untuk kita berkongsi masalah, dan mengurangkan tekanan yang dihadapi,” ujarnya.

Beliau turut menasihati masyarakat agar tidak menyalahgunakan media sosial untuk perkara yang boleh memberi kesan buruk seperti menghasut.

“Di dalam media sosial ini, kita tidak tahu akan latar belakang mana-mana individu yang menggunakannya, tambahan mereka yang tidak mempunyai perasaan empati atau kasihan.

“Oleh itu, jangan terlalu bergantung kepada media sosial dengan bertanyakan soalan yang boleh mengancam nyawa anda sendiri,” tegasnya lagi.

Suara Sarawak