BETONG: Orang awam diingatkan agar tidak ke tempat yang sudah dibersihkan melalui operasi nyahcemar buat sementara waktu.
Pegawai Operasi BBP Betong Henry Jugah berkata, pihaknya merupakan salah satu agensi yang terlibat dalam menjalankan tugas pembersihan dan nyahcemar tempat awam di Daerah Betong.
“Hari ini (semalam) kita sudah menyelesaikan kerja-kerja pembersihan di pasar basah dan tamu pekan Betong serta Spaoh menggunakan jentera Prime Mover.
“Ia bagi membersihkan kawasan yang selalu dikunjungi orang awam agar kekal selamat digunakan selepas ini. Keadaan yang bersih dapat mengelakan jangkitan Covid-19.
“Cuma kita harap, sesiapa pun jangan pergi ke tempat yang sudah dibersihkan itu buat sementara waktu,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Jelasnya, orang ramai dinasihati tidak berada hampir dengan lokasi yang dibersihkan semasa operasi dijalankan supaya tidak menghalang lalu lintas.
Bagaimanapun tambahnya, setakat ini kerjasama masyarakat sangat baik dan bomba dapat melakukan penugasan dengan cepat.
Henry turut memaklumkan, hari ini (Jumaat) pihaknya akan meneruskan kerja pembersihan di pasar basah Debak dan tamu Pusa.
Sementara satu lagi pasukan bomba akan bersama-sama Pejabat Kesihatan Bahagian Betong dan Majlis Daerah Betong untuk melakukan operasi nyahcemar di pasar basah dan tamu pekan Betong serta Spaoh. Operasi diketuai Ketua BBP Betong Vincent Baling Yabi.
Henry dalam pada itu mengingatkan semua pihak untuk sentiasa mengutamakan aspek kebersihan diri, keluarga, rumah dan tempat kerja di samping mematuhi segala saranan kerajaan demi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.