JULAU: Rumah Joseph Ng, Bekatan menerima peruntukan RM5,000 menerusi Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi membeli keperluan asas rumah panjang itu.
Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, usaha meningkatkan kemudahan asas di penempatan berkenaan turut diberi perhatian, khususnya keperluan menyambung bekalan elektrik kepada grid utama.
“Penduduk ketika ini bergantung sepenuhnya kepada sistem solar sebagai sumber bekalan elektrik, justeru tindakan segera perlu diambil bagi membolehkan mereka menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sistem solar di Rumah Joseph Ng dan menghadiri Program Kesedaran Pendidikan Bersama Komuniti 2026 di lokasi berkenaan.
Katanya, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendidikan, khususnya dalam menghadapi perkembangan sistem pembelajaran berasaskan teknologi digital.
Beliau turut menggalakkan pelajar di kawasan pedalaman merebut peluang pendidikan serta memanfaatkan inisiatif pendidikan percuma yang disediakan kerajaan.
Pada majlis sama, Rolland menyampaikan sumbangan tunai RM1,000 kepada Biro Wanita Ng Bekatan bagi menyokong aktiviti dan kebajikan golongan wanita di rumah panjang itu.
“Saya berharap sumbangan serta usaha menaik taraf kemudahan asas dapat membantu meningkatkan kesejahteraan penduduk, memastikan mereka tidak ketinggalan menikmati arus pembangunan,” katanya.




