ARTIKEL

Iskandar menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Bintulu yang mengambil bahagian dalam Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti Jepak di Dewan Masyarakat Kampung Jepak pada Khamis.

Elak pembakaran terbuka demi keselamatan dan ekonomi penduduk Jepak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Penduduk di kawasan Jepak, khususnya yang terlibat dalam aktiviti pertanian dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan risiko keselamatan serta menjejaskan kesihatan dan ekonomi setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, pembakaran terbuka bukan sahaja mengundang risiko kebakaran, malah boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti asma dan sesak nafas dalam kalangan penduduk.

“Insiden kebakaran di Taman Morshidi baru-baru ini jelas menunjukkan kesannya apabila penduduk terpaksa meninggalkan kediaman, termasuk keluarga yang mempunyai anak kecil.

Iskandar merakam gambar bersama peserta Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti Jepak.

“Pada masa sama, aktiviti ekonomi turut terjejas apabila premis perniagaan seperti kedai makan dan pasar raya terpaksa ditutup sepanjang tempoh kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti Jepak di Dewan Masyarakat Kampung Jepak pada Khamis.

Tambah beliau, kedudukan Jepak yang berhampiran Lapangan Terbang Bintulu turut menimbulkan kebimbangan sekiranya berlaku jerebu akibat pembakaran terbuka sehingga menjejaskan operasi penerbangan.

Iskandar semasa berucap merasmikan Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti Jepak

“Sekiranya penerbangan terganggu, ia bukan sahaja menjejaskan pergerakan, malah boleh memberi kesan kepada ekonomi negeri termasuk keyakinan pelabur luar,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk menghentikan amalan pembakaran terbuka dan lebih bertanggungjawab dalam menjaga alam sekitar.

Beliau turut meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) lebih peka terhadap isu pencemaran dan pembakaran terbuka di kawasan masing-masing.

Dalam perkembangan sama, Iskandar menegaskan kepentingan menangani isu pencemaran alam sekitar khususnya pembuangan sampah secara tidak terkawal.

Menurutnya, penduduk perlu bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi memastikan sisa buangan dilupuskan di tempat yang betul dan tidak mencemarkan sungai.

“Sungai bukan tempat pembuangan sampah.

Jika pencemaran berterusan, kos rawatan air akan meningkat dan akhirnya membebankan pengguna,” katanya.

Selain itu, beliau menggalakkan komuniti termasuk penduduk kampung dan rumah panjang untuk memanfaatkan sisa buangan sebagai sumber ekonomi melalui penghasilan produk kitar semula seperti kraf tangan serta cenderamata.

Beliau turut menggesa JKKK dan KMKK memainkan peranan lebih proaktif dengan bekerjasama bersama agensi seperti Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Usaha berterusan termasuk kempen kesedaran dan aktiviti gotong-royong perlu diperkasakan bagi memastikan persekitaran kekal bersih dan bebas daripada pencemaran,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU