SARIKEI: Semua pihak termasuk pengusaha ladang digesa memainkan peranan dengan mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di Sarawak ketika ini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kerjasama itu amat penting bagi memastikan kualiti udara tidak bertambah buruk, terutama ketika keadaan cuaca kering.
Katanya, pemantauan di seluruh negeri kini dipertingkatkan bagi memastikan tiada kegiatan pembakaran terbuka dilakukan selain mengenal pasti sebarang punca yang boleh menyebabkan pencemaran udara.
“Setakat di Sarawak, kita sentiasa memastikan tidak berlaku pembakaran terbuka. Kita juga meningkatkan pemantauan di lapangan untuk memastikan keadaan ini tidak menjadi lebih serius,” katanya.
Beliau berkata, keadaan jerebu yang berlaku ketika ini dipercayai turut dipengaruhi asap daripada kebakaran di Kalimantan yang merentasi sempadan, bergantung kepada arah tiupan angin.
Katanya, kebakaran berkenaan dipercayai berlaku akibat pelbagai faktor, termasuk kegiatan pembakaran secara sengaja serta kejadian yang tidak disengajakan.
“Justeru, semua pihak perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelakkan sebarang bentuk pembakaran terbuka, khususnya bagi tujuan pertanian, pembersihan kebun atau pembukaan kawasan baharu,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi Kawasan Ulu Sarikei (Sare), di sini, semalam.
Len Talif berkata, pembakaran yang tidak dikawal boleh merebak dengan cepat dalam keadaan cuaca panas dan kering, sekali gus berpotensi mencetuskan kebakaran lebih besar yang boleh mengancam nyawa serta memusnahkan harta benda.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah kesan pembakaran terbuka kerana asap yang terhasil bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah boleh menjejaskan kesihatan penduduk apabila kualiti udara merosot.
“Dalam keadaan sekarang, kita mahu semua pihak memberikan kerjasama sepenuhnya. Jangan lakukan pembakaran terbuka dan segera laporkan sekiranya ternampak sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran,” katanya.
Dalam majlis berkenaan, sebanyak 137 Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 diserahkan kepada 103 penerima dari kawasan Ulu Sarikei, sekali gus mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kepastian pemilikan tanah NCR bagi masyarakat setempat di kawasan DUN N.41 Kuala Rajang dan Parlimen P.206 Tanjung Manis.

