Elak tempat awam jika tidak sihat

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menasihati individu yang tidak sihat agar tidak menghadiri perhimpunan, mesyuarat, persidangan atau acara agama dalam usaha mengekang penularan wabak novel koronavirus.

Menurut JKN, langkah tersebut antara saranan yang dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk menghalang penularan wabak koronavirus yang semakin membimbangkan di sini, semalam.

“Kita menasihati mana-mana individu atau peserta yang sakit atau tidak sihat semasa melakukan aktiviti untuk berhenti serta-merta dan mendapatkan rawatan.

“Mereka juga dinasihatkan untuk kekal di rumah dan meminimumkan pergerakan di tempat awam selain tidak boleh menghadiri mana-mana acara atau program,” jelasnya.

Jabatan itu menambah, ketika ini tiada keperluan bagi mana-mana individu yang sihat untuk memakai topeng hidung dan mulut.

“Bagaimanapun, semua pihak perlu berwaspada dan mengamalkan kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan dan mengelakkan sentuhan pada wajah.

“Orang ramai juga dinasihat untuk mengelakkan berjabat tangan atau bersentuhan fizikal dengan orang lain dan mempertimbangkan menerima salam alternatif,” ujar JKN lagi.

JKN turut menyarankan, mana-mana acara yang dilakukan ketika ini, pihak penganjur dan sekretariat bertanggungjawab mengambil langkah langkah pencegahan yang perlu bagi membendung penularan wabak berkenaan.

“Semua peserta yang mengalami gejala pernafasan diberi penutup hidung dan mulut sebelum masuk.

Pihak penganjur juga mesti menolak penyertaan individu yang kurang sihat.

“Sediakan cecair pembersih tangan sebelum dan selepas acara di tempat yang mudah diperoleh atau di bilik mesyuarat.

“Selain itu, mereka juga dinasihati untuk menjalankan pemeriksaan suhu jika boleh dan sentiasa meningkatkan kekerapan pembersihan semua kawasan yang biasa digunakan seperti bilik air, pusat pendaftaran, kaunter bayaran dan ruang makan,” katanya.

Manakala bagi sektor pengangkutan awam dan teksi, JKN menyarankan bas, teksi dan semua kenderaan lain sering dibersihkan dengan bahan pencuci atau semburan.

JKN juga mengesyorkan supaya pihak sekolah dan kelas menjalani pemeriksaan tandatanda wabak atau mengesan suhu murid sebelum masuk ke sekolah dan kelas.

“Pelajar yang mempunyai sejarah perjalanan ke China dan negara-negara berisiko lain harus dielakkan pergi ke sekolah selama tempoh 14 hari,” jelasnya.

Suara Sarawak