Elakkan diri jadi mangsa jenayah siber

BINTULU: Penipuan membabitkan pembelian dalam talian dan Love Scam antara dua penipuan siber paling popular berlaku di negeri ini selain penipuan membabitkan Macau Scam dan mencari pekerjaan.

Sepanjang Januari hingga April lalu, sebanyak 60 kes penipuan siber membabitkan Love Scam dan pembelian dalam talian direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis DiRaja Malaysia.

Menteri Muda eDagang, Menteri Muda Keusahawanan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Haji Mohd Naroden Haji Majais berkata dua penipuan itu masing- masing mencatatkan 30 kes dengan penipuan Love Scam membabitkan RM370,000 manakala pembelian dalam talian membabitkan kerugian RM450,000.

Bimbang dengan peningkatan kes terbabit dari semasa ke semasa, beliau meminta semua pihak terutama orang awam supaya sentiasa berwaspada agar tidak menjadi mangsa penipuan jenayah khususnya pembelian dalam talian.

Menurutnya, penipuan dalam talian, misalannya, boleh berlaku kepada sesiapa sahaja samada daripada golongan profesional sehingga kepada kelompok pesara kerajaan, kakitangan kerajaan dan swasta, nelayan, petani termasuk warga emas dan pelajar.

UNTUK ALBUM…Naroden merakamkan gambar bersama peserta Kempen Staying Safe Online 2019 anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan eDagang Sarawak bertempat di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu(BDA).

Pihak ‘scammer’, menguasai perkembangan teknologi dan menggunakan kemahiran ‘soft skills’ untuk memanipulasi individu yang lemah dan mereka yang berpotensi menjadi mangsa penipuan.

Apa yang berlaku adalah mangsa yang teruja dengan barangan berjenama yang ditawarkan hadiah lumayan maupun menjalinkan hubungan cinta palsu dengan gambaran bahawa individu tersebut kacak atau jelita , ujarnya ketika berucap merasmikan Kempen Staying Safe Online 2019 anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan eDagang Sarawak bertempat di Auditorium Lembaga Kemajuan Bintulu(BDA), di sini.

Selain, katanya, pihak ‘scammer’ turut menggunakan bahasa yang sopan dan manis bagi memikat dan menjerat atau mencairkan hati dan kepercayaan mangsa . Situasi ini selalunya menjadikan golongan wanita lebih mudah terpedaya serta terperangkap dalam kes-kes penipuan sedemikian katanya lagi.

Sama ada kita sedar atau tidak teknologi dan internet telah mengubah cara dan budaya dunia bekerja . Melalui teknologi dan internet ini, kita boleh mencari pelbagai bentuk maklumat, malah, kita boleh bertukar atau mengubah maklumat.

Bahkan, kita juga boleh membuat keputusan penting berdasarkan maklumat yang kita ada berbanding sebelum kemunculan zaman internet di mana kita terpaksa pergi ke perpustakaan untuk mencari buku atau maklumat, ujar Naroden lagi.

Beliau, dalam pada itu, menyifatkan program tersebut penting dalam memupuk kesedaran mengenai kebaikan maupun keburukan penggunaan teknologi maklumat khususnya internet.

Apa yang penting, katanya, sebagai pengguna, masyarakat harus jangan alpa atau mudah lalai terhadap cabaran, risiko, kesan buruk atau akibat penyalahgunaan teknologi moden ini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Perdagangan Antarabangsa dan eDagang, Kameri Haji Affandi, , Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Jenny Bangga dan Soo Ling Ching, Inspektor Noor Asri Ibrahim dari Jabatan Siasatan dan Jenayah IPD Bintulu, Penolong Pengarah Kementerian Komunikasi dan Multimedua Wilayah Sarawak Cawangan Bintulu, Mathew Manyin Rengga @ Mohd Mu^izzuddin Rengga antara yang hadir.

Suara Sarawak