ARTIKEL

Abang Johari ketika berucap pada Seminar Ahli-Ahli Majlis 2025 (Localization of Sustainable Development Goals (SDGs) untuk Majlis Tempatan Sarawak), di sini. | Foto: Mohd Alif Noni

Elaun kaunselor dan ketua masyarakat dikaji semula

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengkaji semula cadangan elaun kaunselor Ahli Majlis Kerajaan Tempatan dalam tempoh enam bulan akan datang, kata Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, kajian itu turut melibatkan elaun Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Tuai Rumah bagi memastikan ganjaran yang diterima seiring dengan tanggungjawab mereka.

“Sebenarnya kita sedang membuat kajian, termasuklah untuk ketua kaum, tuai rumah dan juga kaunselor, dengan syarat negeri kita aman dan makmur, ekonomi kita kukuh serta pendapatan negeri meningkat.

“Kalau kita bekerja kuat dan hasilnya baik, tentu sekali kerajaan (Sarawak) akan menimbangkan perkara ini,” katanya.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata, jawatankuasa khas yang ditubuhkan turut mencadangkan agar kajian tersebut tidak hanya menumpukan kepada elaun semata-mata, tetapi juga aspek kebajikan lain seperti penjagaan kesihatan.

“Sebagai contoh, sekiranya mereka mendapatkan rawatan di klinik kerajaan, kosnya boleh ditanggung oleh kerajaan. Ini pendekatan menyeluruh yang akan kita lihat.

“Kalau langkah ini dilaksanakan, saya yakin semua tuan-tuan dan puan-puan akan terus menyumbang semula kepada pembangunan negeri melalui idea baharu dan piawaian antarabangsa.

“Insya-Allah, Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, akan memberitahu anda nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Ahli-Ahli Majlis 2025 (Localization of Sustainable Development Goals (SDGs) untuk Majlis Tempatan Sarawak), di sini.

Abang Johari menambah, peranan kaunselor amat penting dalam memastikan dasar kerajaan negeri dilaksanakan dengan berkesan di peringkat akar umbi.

“Menjadi kaunselor ini ada tanggungjawab… sama seperti wakil rakyat. Kalau silap sedikit, orang akan mengadu, termasuklah kepada saya.

“Alhamdulillah, negeri kita kini dihormati oleh pihak luar kerana cara kita bekerja. Maknanya mesti ada idea baharu. Kalau sekarang kita bercakap tentang ESG (Environmental, Social and Governance), maka kita perlu melaksanakannya.

“Sebab itu apabila pihak UNICEF datang, mereka melihat Sarawak benar-benar menjadi model bagi sebuah negeri membangun,” katanya.

Justeru, jelasnya, pendekatan itu akan meningkatkan produktiviti serta menjana idea baharu bagi memperkukuh ekonomi negeri.

“Bukan kita sahaja yang bekerja keras, ketua kaum pun sama. Jadi, kalau kemampuan kita ada, pendapatan negeri meningkat dan ekonomi kita naik… tidak salah kalau kita berkongsi sedikit dengan mereka (Ahli Majlis),” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU