PELAKON popular Elfira Loy berkongsi khabar duka apabila ibu tercintanya, Filzah Yusoff, 61, menghembuskan nafas terakhir dan kembali ke rahmatullah pada awal pagi Ahad.
Menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, Elfira meluahkan rasa dukacita atas kehilangan insan tersayang itu.
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dengan penuh dukacita, saya ingin memaklumkan bahawa ibu saya, Filzah Yusoff, kembali ke rahmatullah hari ini,” tulisnya.
Menurut Elfira, atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 32, jenazah ibunya dibawa ke Masjid Al Mukhlisin, Alam Damai, bagi urusan pengurusan jenazah.
Dalam hantaran yang sama, beliau turut memohon doa daripada orang ramai buat arwah ibunya.
“Mohon sedekahkan al-Fatihah dan doakan agar Allah SWT mengampuni segala dosanya, menerima amal ibadahnya, melapangkan serta menerangi kuburnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” tambahnya.
Elfira turut berharap agar seluruh ahli keluarganya diberi ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian berat itu.



