ARTIKEL

Emas hijau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SETIAP hari, ribuan tan sampah dihantar ke tapak pelupusan di seluruh Malaysia.

Bagi kebanyakan orang, sampah hanyalah sisa yang perlu dibuang.

Namun, bagi negara seperti Sweden, Denmark dan Singapura, sampah bukan lagi masalah semata-mata, sebaliknya menjadi sumber ekonomi dan tenaga yang bernilai.

Melalui teknologi “dari sisa ke tenaga”, sisa buangan diproses untuk menghasilkan elektrik, haba atau bahan api alternatif. Kejayaan negara tersebut sering dijadikan model pengurusan sisa moden yang perlu dicontohi.

Namun, persoalan yang lebih penting ialah sama ada pendekatan yang berjaya di negara tersebut dapat diterapkan secara langsung di Malaysia, khususnya Sarawak.

Hakikatnya, kejayaan Sweden tidak berlaku dalam sekelip mata. Ia dibina melalui sistem pengasingan sisa yang cekap, kesedaran masyarakat yang tinggi, pelaburan teknologi bernilai berbilion dolar serta penguatkuasaan dasar yang konsisten selama beberapa dekad.

Denmark pula mempunyai infrastruktur bandar yang padat dan tersusun.

Manakala, Singapura menikmati kelebihan geografi yang kecil dan mudah diurus.Malaysia berdepan realiti yang berbeza.

Walaupun kesedaran berkaitan kitar semula semakin meningkat, kadar pengasingan sampah dari punca masih belum memuaskan.

Sebahagian besar sisa domestik masih bercampur antara sisa makanan, plastik, logam dengan bahan lain.

KITAR SEMULA

Keadaan ini bukan sahaja menyukarkan proses kitar semula, malah mengurangkan keberkesanan teknologi penjanaan tenaga daripada sampah.

Dalam konteks Sarawak, cabarannya lebih kompleks. Sarawak mempunyai keluasan geografi yang besar dengan taburan penduduk yang tidak sekata.

Kos mengumpul dan mengangkut sampah dari kawasan luar bandar dan pedalaman jauh lebih tinggi berbanding kawasan bandar yang padat seperti di Singapura.

Ini bermakna model loji dari sisa ke tenaga berskala besar mungkin tidak semestinya menjadi penyelesaian terbaik untuk semua kawasan.Namun demikian, Sarawak mempunyai kelebihan tersendiri yang boleh dimanfaatkan.

Sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui melalui hidroelektrik dan pembangunan ekonomi hidrogen, Sarawak berada dalam kedudukan strategik untuk mengembangkan sektor tenaga berasaskan sisa sebagai pelengkap kepada agenda tenaga hijau negeri.

Hal yang perlu difahami ialah masa depan industri sisa tidak lagi terhad kepada pembakaran sampah bagi menjana elektrik.

Dunia kini bergerak ke arah teknologi yang lebih canggih seperti penghasilan biogas daripada sisa organik, penukaran sisa kepada hidrogen, penghasilan bahan api penerbangan mampan serta teknologi gasifikasi yang lebih mesra alam.

Dalam tempoh 10 tahun akan datang, persaingan global bukan lagi sekadar berkaitan siapa yang mempunyai sumber asli yang banyak, tetapi siapa yang mampu memanfaatkan sumber yang sebelum ini dianggap tidak bernilai.

STRATEGIK


Sampah dijangka menjadi salah satu komoditi strategik dalam ekonomi hijau dunia.

Berdasarkan trend semasa, Sarawak berpotensi menjadi antara wilayah terawal di Asia Tenggara yang membangunkan ekosistem tenaga daripada sisa secara menyeluruh.

Namun, kejayaan tersebut memerlukan pendekatan yang realistik dan bersesuaian dengan keadaan tempatan.

Daripada hanya bergantung kepada loji pembakaran sampah berskala besar, Sarawak boleh mempertimbangkan pembangunan hab pemprosesan sisa mengikut wilayah seperti di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

Kawasan luar bandar pula boleh menggunakan sistem biogas komuniti yang memanfaatkan sisa pertanian, ternakan dan makanan.

Selain itu, kerajaan, industri dan masyarakat perlu melihat pengurusan sisa sebagai sektor ekonomi baharu, bukannya sekadar perkhidmatan kebersihan.

Industri ini berpotensi mewujudkan ribuan pekerjaan hijau dalam bidang kejuruteraan, teknologi alam sekitar, penyelidikan, automasi dan kecerdasan buatan.

Persoalannya bukan lagi sama ada sampah boleh ditukar menjadi tenaga kerana dunia membuktikannya.

Persoalan yang lebih besar ialah sama ada kita bersedia mengubah cara berfikir dan melihat sampah sebagai sumber strategik masa depan.

Jika abad ke-20 dikenali sebagai era minyak dan gas, tidak mustahil abad ke-21 menyaksikan sisa buangan muncul sebagai salah satu sumber kekayaan baharu yang menentukan daya saing sesebuah negara dan wilayah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU