ARTIKEL

John Sikie ketika menyampaikan ucapan penggulungan menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini. -Foto Ghazali Bujang

Empat adat peribumi Sarawak siap, sedia untuk semakan Jabatan Peguam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) telah memuktamadkan draf Adat Iban, Adat Bidayuh, Adet Kenyah dan Adet Kayan selepas mendapat pengesahan semasa Mesyuarat Ahli-ahli Majlis, Majlis Adat Istiadat Sarawak pada 6 Mei lalu.

Menteri di Jabatan Premier, Datuk Seri John Sikie Tayai berkata, draf tersebut kini bersedia untuk diserahkan kepada Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak bagi tujuan semakan lanjut.

“Bagi Adat Iban, draf sudah disahkan oleh semua Temenggong masyarakat Iban pada 27 Februari 2026 di Sibu, manakala pemimpin masyarakat Bidayuh telah memperakui Adat Bidayuh pada 30 April 2026 di Serian.

“Begitu juga bagi Adet Kenyah dan Adet Kayan, kedua-dua draf turut diperakui pemimpin komuniti terbabit pada 15 April 2026 dan 16 April 2026 di Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, semakan terhadap Adat Iban 1993, Adat Bidayuh 1994 dan Adet Kayan-Kenyah 1994 kini berada pada peringkat draf akhir.

“Bagi Adet Kayan-Kenyah 1994 pula telah dipecahkan dan disemak secara berasingan,” katanya.

MAIS juga sedang menyediakan nota penjelasan bagi adat yang sedang disemak bagi memberi pemahaman lebih baik mengenai adat kepada pengamal, peminat dan pembaca.

Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan bahawa MAIS turut melaksanakan kerja awal pengkodifikasian Adet Punan.

“Bengkel pertama berkaitan adat tersebut yang diadakan pada 22 dan 23 April 2026 di Bintulu merupakan langkah penting ke arah pendokumentasian dan pemeliharaan adat serta tradisi masyarakat Punan di Sarawak,” katanya.

ADUN Kakus itu menambah bahawa adat dianggap merangkumi tradisi dan budaya masyarakat peribumi.

Menurutnya, antara fungsi utama MAIS ialah menjelaskan serta mempromosikan pemahaman dan penghayatan yang lebih baik terhadap adat, budaya, tradisi dan sejarah pelbagai komuniti peribumi di Sarawak selaras dengan Ordinan Majlis Adat Istiadat 1977.

“Justeru, MAIS menubuhkan Bahagian Budaya, Tradisi dan Sejarah pada tahun ini bagi melaksanakan mandat tersebut dengan pelbagai sesi libat urus awal telah dijalankan melibatkan beberapa pemimpin komuniti peribumi di seluruh negeri,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU