KUCHING: Empat atlet Special Olympics Sarawak bakal membawa cabaran Malaysia pada Pertandingan Boling Serantau Special Olympics Asia Timur 2026 di Hong Kong, yang berlangsung dari 4 hingga 7 September ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata, mereka terdiri daripada Mohamad Najib Salmi, Nelson Donny Sunny dan Siti Hamidah Sabri dari Special Olympics Kuching, serta Vanessa Nisha Siok dari Special Olympics Miri.
“Keempat-empat atlet itu akan menyertai kontinjen Special Olympics Malaysia yang turut dibarisi empat atlet dari Selangor, dengan sokongan dua jurulatih dari setiap negeri.
“Pertandingan berkenaan akan berlangsung di Top Bowl Tenpin Bowling, Kai Tak Sports Park, Hong Kong, dan menghimpunkan peserta dari Hong Kong, China, Macau, Bharat, Chinese Taipei, Singapura, Jerman dan Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika menerima kunjungan hormat kontinjen Special Olympics Sarawak di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.
Ujar Fatimah, penyertaan ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan sukan atlet Sarawak.
“Bersedia untuk bertanding, itu memerlukan satu dari segi kekuatan mental, fizikal kamu, dan juga strategi yang pasti sudah diajar oleh jurulatih.
“Atlet juga diingatkan supaya menikmati pengalaman bertanding dan membina persahabatan dengan peserta dari negara lain,” ujarnya.
Sementara itu, Fatimah berkata, penyertaan atlet dalam pertandingan antarabangsa membuktikan kemampuan mereka untuk berkembang ke peringkat lebih tinggi.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan atlet supaya melakukan yang terbaik, mewakili Malaysia dengan bangga dan terus menikmati pengalaman sepanjang pertandingan.





