KUCHING: Empat buah kilang di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa terbakar dalam satu insiden di sini, petang tadi.
Komander Operasi, PBK II TBBK II Awang Iskandar Rasyid Awang Seruji berkata, kejadian dilaporkan pada jam 5.56 petang melibatkan deretan kilang bersaiz kira-kira 70×40 kaki persegi.
“Pasukan bomba dari BBP Kota Sentosa, Tabuan Jaya dan Batu Lintang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Awang, kilang pertama, sebuah bengkel kereta mengalami kemusnahan kira-kira 40 peratus kemusnahan manakala sebuah kilang perabot musnah hampir 70 peratus dalam kebakaran tersebut.
“Sebuah lagi premis iaitu kedai membaiki peti sejuk turut terbakar sehingga 70 peratus dan kilang terakhir yang memproses besi buruk mengalami kerosakan dianggarkan 20 peratus.
“Sebanyak 23 anggota berada di lokasi bersama tiga jentera digunakan bagi usaha memadamkan api yang sedang marak ketika pasukan tiba.
“Setakat laporan ini disediakan, kerja-kerja pemadaman masih diteruskan bagi memastikan api berjaya dikawal sepenuhnya dan tidak merebak ke struktur berhampiran.
“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut,” katanya.




