SARIKEI: Empat individu dikejarkan ke Hospital Sarikei selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Rentap, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Aswandy Anis berkata, insiden kira-kira 11 pagi itu dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Vios yang dipandu lelaki berusia 24 tahun dari arah Hospital Sarikei menuju ke pusat bandar gagal mengawal kenderaannya sebaik tiba di persimpangan berkenaan.
“Kenderaan tersebut kemudian merempuh empat buah kenderaan lain yang berhenti ketika lampu isyarat merah, sekali gus mencetuskan perlanggaran berantai di lokasi berkenaan,” katanya.
Tambah Aswandy, antara kenderaan yang terlibat adalah sebuah Perodua Bezza, Perodua Kancil serta dua pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Akibat rempuhan itu katanya, dua pemandu dan dua penumpang mengalami kecederaan sebelum dibawa ke Hospital Sarikei oleh pasukan ambulans bagi menerima rawatan lanjut.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kemalangan,” ujarnya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Mustaqim di talian 010-4427240.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memberi tumpuan penuh ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku, terutama di kawasan persimpangan lampu isyarat yang sibuk.

