ARTIKEL

Gambar fail

Empat kawasan di Sarawak catat bacaan IPU sangat tidak sihat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Empat kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat setakat jam 3 petang ini, dengan Kuching merekodkan bacaan tertinggi iaitu 261.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, tiga kawasan lain yang merekodkan tahap sama ialah IPD Serian (254), Sri Aman (234) dan Samarahan (231).

“Beberapa kawasan lain di Sarawak turut mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, termasuk Mukah dan Sarikei masing-masing 185, Samalaju 179, Bintulu 168, ILP Miri 173 serta Miri 164,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut JAS, keadaan itu berlaku dalam persekitaran cuaca kering yang berterusan di sebahagian Rantau Selatan ASEAN, selain dipengaruhi perkembangan titik panas dan asap rentas sempadan.

“Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) pada 7 September, sebanyak 109 titik panas dikesan di Kalimantan, 119 di Sumatera dan enam di Malaysia.

“ASMC turut melaporkan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal meliputi bahagian barat laut Borneo, selain asap daripada kelompok titik panas di Kalimantan, timur Jawa serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.

“JAS akan terus memantau bacaan IPU, titik panas serta perkembangan jerebu rentas sempadan dengan mengambil kira maklumat meteorologi sebagai input kepada penilaian situasi dan penyelarasan tindakan pengurusan jerebu di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, JAS turut memberi perhatian khusus terhadap beberapa kejadian kebakaran di Sarawak, khususnya membabitkan kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah yang berisiko menghasilkan asap serta pelepasan bahan pencemar.

“Kebakaran di Jalan Sibujaya Barat, Mukah dilaporkan berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Di Kampung Kut, Daro, kira-kira 7.8 daripada lapan hektar kawasan terbakar telah dipadamkan, manakala baki 0.2 hektar masih dalam tindakan pemadaman.

“Kebakaran di Sungai Nai, Daro pula melibatkan kawasan seluas 4.5 hektar, dengan tiga hektar berjaya dipadamkan dan baki 1.5 hektar masih dalam tindakan,” tambahnya.

Sementara itu JAS katanya, kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Selalang, Sarikei melibatkan 0.6 hektar kawasan, dengan 0.2 hektar telah dipadamkan dan baki 0.4 hektar masih dalam tindakan.

“Pemantauan akan dipertingkatkan sekiranya berlaku peningkatan pencemaran udara, manakala tindakan sewajarnya akan diambil mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang bagi meminimumkan kesan terhadap alam sekitar serta kesihatan awam,” katanya lagi.

JAS turut menekankan kerjasama pihak industri bagi mengurangkan pelepasan udara daripada punca utama, khususnya di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 300.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU