Empat lelaki ditahan miliki dadah jenis syabu

BINTULU: Polis menahan empat lelaki dan merampas dadah jenis Methamphetamine(syabu) bernilai RM1,550 di sebuah pondok kosong, di tepi jalan simpang Daiken, Tanjung Kidurong, tengahari tadi.

Keempat – empat lelaki berusia antara 23 hingga 31 tahun itu ditahan jam 12.30 tengahari tadi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, pemeriksaan ke atas semua suspek, polis menemui 15 keratan tiub straw lutsinar kehijauan dan tiga peket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu anggaran berat 15.5 gram.

Menurutnya, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah amphetamine dan methamphetime.

“Salah seorang suspek ini juga mempunyai dua rekod lampau dan dipercayai merupakan pesalah jenayah dan penagih tegar berdasarkan rekod polis.

“Suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB )1952 dan Seksyen 15(1)ADB 1952, katanya.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan tidak melebihi sembilan kali.

Manakala, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pula, denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan pengawasan dua tahun, ujar Zulkipli.

Tangkapan dadah syabu di sebuah pondok kosong di tepi jalan simpang Daiken, Tanjung Kidurong.

Suara Sarawak