SERIAN: Empat lelaki warga Indonesia cedera selepas kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Jalan Panchor, Jalan Kuching–Serian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 1.38 petang hari ini dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan serta BBP Serian segera digerakkan ke lokasi.
Katanya, setiba di lokasi didapati tiga penumpang mengalami kecederaan dan tidak tersepit, manakala pemandu masih tersepit di dalam kenderaan yang remuk itu.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan RTA Combi Tool,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, tiga mangsa diserahkan kepada ambulans dari Hospital Serian untuk rawatan selanjutnya.
Manakala mangsa yang tersepit mengalami pendarahan terbuka pada kaki kanan dan dibawa ke Hospital Serian menggunakan jentera EMRS Serian bersama Pegawai Perubatan Hospital Serian untuk rawatan selanjutnya.







