BINTULU: Polis Sarawak sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk bencana banjir, serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak, berkata kesiapsiagaan itu menjadi komitmen berterusan pasukan polis dalam memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terjamin, terutama ketika berdepan keadaan cuaca tidak menentu dan risiko bencana.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan semasa serta bersedia menggerakkan anggota dan aset bersesuaian bagi menghadapi sebarang situasi kecemasan, termasuk membantu operasi menyelamat dan pemindahan mangsa jika berlaku banjir.
Menurutnya, persiapan turut meliputi aspek keselamatan dan ketenteraman awam menjelang PRU Sarawak ke-13 bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta mengelakkan sebarang kejadian yang boleh menjejaskan keamanan masyarakat.
“Memang setiap masa kita bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, tambahan pula kita sekarang sedang membuat persiapan bagi menghadapi PRU Sarawak kali ini.
“Kita sentiasa membuat persediaan untuk menghadapi semua keadaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan peserta Bintulu Cop Run 2.0 di pekarangan Pasar Raya Farley Bintulu, di sini, pagi tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifullizan berkata seramai 2,600 peserta menyertai Bintulu Cop Run 2.0 yang menjadi antara platform mendekatkan pasukan polis dengan masyarakat menerusi aktiviti riadah dan interaksi secara santai.
Menurutnya, program tersebut bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan anggota polis, sekali gus memperkukuh hubungan dan kepercayaan antara kedua-dua pihak.
“Inisiatif seumpama itu turut mencerminkan usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh hubungan strategik dengan media dan masyarakat, selain mewujudkan saluran komunikasi lebih terbuka dalam menyampaikan maklumat berkaitan keselamatan serta kesejahteraan komuniti,” tambahnya.






